Categories
SELANGOR

Peruntukan kampung baru naik mendadak di bawah PAKATAN

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 19 DIS: Peruntukan kepada kampung baru di seluruh Selangor dinaikkan sehingga RM5 juta setahun bagi merealisasikan agenda pembangunan di kawasan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, jumlah terbabit meningkat sejak PAKATAN mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri itu, pada 2008.

Katanya, ia berbeza berbanding era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang hanya memperuntukkan RM200,000 setahun untuk pembangunan kampung baru.

“RM200,000 itu bukan peruntukan bulanan tetapi tahunan bagi seluruh Selangor.

“Bagaimanapun, selepas mengambil alih pentadbiran, kita naikkan peruntukan sehingga RM5 juta bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan kampung baru,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Balai Raya Kampung Baru Seri Berjuntai, Pintu Gerbang Kampung Baru Ijok dan Balai Raya Kampung Baru Ijok, di sini.

Sejak 2008, Kerajaan Negeri konsisten memperuntukkan RM5 juta setahun bagi pembangunan Kampung Baru, antaranya pembinaan balai raya, gelanggang bola keranjang dan jambatan.

-AA-