Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Peserta perlu faham objektif demontrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 DIS: Orang ramai yang menyertai demontrasi perlu memahami tujuan sebenar ia diadakan dan bukan untuk berseronok atau disebabkan mendapat habuan tertentu.

Pengasas Akademi Pak Sako, Najwan Halimi berkata, kegagalan peserta demontrasi berbuat demikian menyebabkan penganjur mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Itu yang menyebabkan ada yang pergi demontrasi kerana dapat duit dan makanan, malahan bas turut disediakan.

“Tidak kurang juga datang, kemudian ber’selfie’ tetapi tidak faham dengan jelas apa tujuan sebenar, justeru penganjur perlu bertanggungjawab memberi penerangan,” katanya.

Najwan berkata, peserta demontrasi hari ini juga lebih bernasib baik apabila tidak merasai pengalaman perit dilalui peserta demontrasi terdahulu.

“Dahulu ditangkap, ditembak meriam air, gas pemedih mata hingga pengawal peribadi Datuk Seri Anwar sendiri terkena kelongsong peluru gas pemedih mata.

“Itu bukan kehendak kita atau sesiapa kerana keadaan berubah mengikut peredaran masa, misalnya kalau dahulu kena pukul dan ditangkap tetapi sekarang sudah berubah, ” katanya.

Selain itu, Najwan turut menegaskan kebebasan selepas berhimpun secara aman juga perlu dipelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

-AA-