Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

PKNS FC lega dapat sertai Liga M, kini fokus persiapan kempen

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 DIS: Lega selepas berjaya menyelesaikan isu penyertaan dalam saingan Liga Malaysia 2017, PKNS FC tidak lagi mahu menoleh ke belakang sebaliknya fokus memantapkan lagi pasukan sebelum bermula sepak mula pada Januari 2017.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata pemain ketika ini berada di tahap semangat tinggi untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian musim 2016.

“PKNS FC berusaha menampilkan permainan berkualiti dan terbaik bagi mencapai kejayaan sama seperti tahun lalu dan di waktu ini pasukan PKNS FC sedang menjalani latihan pra musim di kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya,” kata Mahfizul ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, PKNS FC mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi menguji gandingan di antara pemain baru dan pemain sedia ada bagi memperolehi persefahaman mantap di antara pemain.

Bagaimanapun katanya, ketika ini pihak beliau sedang menunggu maklum balas pasukan terlibat sebelum membuat sebarang pengumuman.

Sebelum ini, PKNS yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Selangor FAS gagal mendapatkan sokongan (FAS) untuk menyertai Liga Malaysia 2017.

Bagaimanapun PKNS FC selepas itu mengambil keputusan drastik untuk bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) sekaligus membolehkan mereka beraksi pada musim depan.

=EZY=