Categories
NASIONAL

Presiden ABIM kongsi perkembangan masyarakat madani di pentas dunia

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 DIS: Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim diundang sebagai panelis dalam persidangan antarabangsa ‘World Forum On Muslim Democrats’ ketiga di Sasakawa Peace Foundation, Tokyo, Jepun, 24 dan 25 November lalu.

Berucap dipentas antarabangsa, Raimi berkongsi perkembangan dan pengalaman penggiat masyarakat madani (Civil Society) dalam merangsang perkembangan demokrasi serta keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

abimMengisi slot ‘Capacity Building Of Civil Society In The Muslim World,’ Raimi turut mengetengahkan beberapa trend terkini perkembangan gerakan masyarakat madani di seluruh dunia.

Katanya, gerakan itu semakin menagih perhatian terutama sekali ke arah menjayakan interaksi antara agama serta kaum untuk mengatasi gejala Islamophobia dan ekstremisme sejagat.

Persidangan antarabangsa itu menghimpunkan penggiat demokrasi dalam kalangan dunia Islam dengan persidangan kali ini terarah membincangkan kepentingan menangani Islamophobia serta faham ekstremis yang mencalarkan wajah progresif Islam di pentas antarabangsa.

Muslim Demokrat merupakan satu gerakan evolusi pembaharuan politik yang semakin meraih momentum.

Sejak tahun 2014, Forum Sedunia Muslim Demokrat (WFMD) yang dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim, B J Habibie, Surin Pitsuwan, Abdullah Gul, Tariq Ramadan dan pemimpin masyarakat madani telah menggariskan hala tuju Muslim Demokrat bagi melaksanakan reformasi menyeluruh, menegakkan keadilan sosial, membanteras korupsi dan tatakelola yang baik.

Dalam kesempatan sama, Raimi turut menemui dan berbincang perihal masa depan Asia dengan dua tokoh besar Asia dari Thailand dan Jepun.

Mereka adalah mantan Menteri Luar Thailand yang juga Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan dan mantan Menteri Alam Sekitar dan Menteri Luar Jepun, Prof Yoriko Kawaguchi.

Sidang kali ini dirasmikan Dr Surin Pitsuwan, tokoh diplomat Muslim di peringkat antarabangsa dan ucaptama oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi surat yang dibacakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

-nR-