Categories
SELANGOR

Punca tanah runtuh Serendah akibat aktiviti lombong lama

SHAH ALAM, 10 DIS: Aktiviti perlombongan dijalankan lebih 20 tahun lepas merupakan faktor berlaku aliran air bawah tanah sekaligus menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah, baru-baru ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim bagaimanapun berkata, aliran air itu berjaya disalur menggunakan kaedah ‘piling’ dan ‘roofpile’ oleh jurutera.

Katanya, kerja membaik pulih dijangka selesai minggu depan dan laluan sementara sudah siap boleh digunakan penduduk untuk kegiatan harian.

Pada masa sama, Mohd Fauzi turut menafikan kewujudan aliran air yang dikatakan berpunca daripada projek dijalankan di kawasan perumahan bersebelahan Taman Idaman.

Terdahulu, kerja baik pulih kawasan tanah runtuh di Taman Idaman itu siap dalam tempoh empat hari, berbanding tujuh hari yang dijadualkan.

Pada 26 November lalu, sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk tertimbus dalam runtuhan di Taman Idaman.

Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong di situ turut meranapkan tujuh unit kedai.

=EZY=