Categories
SELANGOR

Sedia khidmat atasi murung & tekanan hidup

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 6 DIS: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Subang Jaya bekerjasama dengan Be Frienders menyediakan kemudahan talian khidmat nasihat atas talian kepada orang ramai bagi mengatasi masalah kemurungan dan tekanan hidup.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, perkhidmatan itu disediakan untuk kebaikan masyarakat di sini dan berharap mereka menggunakan sebaiknya.

“Kita jalankan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan ia mendapat sambutan melalui peningkatan panggilan telefon lebih 30 peratus.

“Diharap ia membawa kebaikan kepada banyak pihak kerana dimaklumi kebanyakan orang dewasa ini mengalami pelbagai masalah seperti tekanan mental dan sebagainya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan dengan perkhidmatan seperti itu harus digalakkan dengan jalinan kerjasama antara kerajaan dan NGO berkaitan demi memenuhi keperluan masyarakat.

“Kita berusaha membantu mereka memerlukan perkhidmatan sebegini dengan sasaran bagi mengurangkannya dan berharap ia diterima baik.

“Malah Kerajaan Negeri juga memberi penekanan dalam aspek ini selain perkhidmatan kesihatan percuma kepada golongan memerlukan dalam pembentangan Belanjawan 2017,” kata beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata, maklumat mengenai perkara itu dipasang di kawasan bersesuaian di sini bagi kemudahan orang ramai dan Be Frienders boleh dihubungi di talian 03 – 7956 8145.

=EZY=