Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Serangan BLB: RM800,000 bantu petani terjejas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 DIS: Kira-kira RM800,000 bakal diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membantu petani yang terjejas ekoran serangan Hawar Daun Bakteria (BLB), baru-baru ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sebahagian daripada bantuan terbabit akan disampaikan, pada awal tahun hadapan.

Katanya, ia diberikan dalam bentuk peralatan dan barangan keperluan untuk pengawalan serangan.

“Kita akan melihat bentuk bantuan yang diperlukan sama ada dalam bentuk pemberian racun atau baja mikrob.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu petani terjejas memulihkan hasil mereka,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, serangan BLB dilapor menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

Zaidy berkata, setakat ini tiada kawalan ampuh mampu menghalang serangan BLB yang boleh dibawa manusia, peralatan dan angin.

-AA-