Categories
SELANGOR

Penyerahan bantuan bencana hawar daun bakteria selesai sepenuhnya

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESAR, 8 FEB: Kerajaan Negeri terus membela nasib petani yang berhadapan bencana hawar daun bakteria (BLB) dengan menyalurkan peruntukan RM769,920 membabitkan 802 lot sawah, di Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam.

Penyerahan bantuan kepada 884 penerima disempurnakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehin Mukhyi dan Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan.

Bercakap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada pesawah Bencana Hawar Daun Bakteria (BLB), Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam di Dewan Seri Bernam, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.54 juta dengan pemberian RM960 satu lot membabitkan 8,953 pesawah.

“Pada masa ini tiada racun kimia mengawal serangan bakteria BLB. Petani diingatkan supaya melaksanakan amalan pertanian baik bagi mengelakkan ia berulang. Guna benih padi sah dan baja seperti yang disyorkan Jabatan Pertanian,” katanya.

Katanya, bencana BLB yang berlaku pada musim 2/2016 itu menjejaskan pendapatan pesawah sehingga 60 peratus.

Difahamkan, setakat ini pesawah sekadar memperoleh hasil sekitar lima tan bagi satu lot, namun ia tidak mencukupi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan berbentuk baja dan racun yang sudah diserahkan kepada pesawah dengan jumlah keseluruhan RM980,000.

Pada masa sama, pesawah diingatkan supaya mendaftar di bawah Skim Takaful Pesawah Padi Negeri Selangor yang memperuntukkan RM3.3 juta bagi 10,000 pesawah sebelum dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Categories
SELANGOR

Pesawah bencana BLB terima bantuan RM1.4 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI PANJANG, 27 SEPT: Sejumlah RM1.4 juta diserahkan kepada 1,500 pesawah kawasan Sabak yang berdepan bencana penyakit hawar daun bakteria (BLB).

Sumbangan 1,660 cek itu disempurnakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Pesawah Bencana BLB Mukim Panchang Bedena Daerah Sabak Bernam di Dewan Parit 6, Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Zaidy berkata, bencana BLB yang berlaku pada musim 2/2016 itu menjejaskan pendapatan pesawah dan Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan kewangan berjumlah RM8.5 juta.

“Kawasan bencana bermula dari Skinchan hingga ke Bagan Terap mencecah keluasan sehingga 42 peratus atau lebih kurang 5,500 hektar,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi dan Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan pesawah supaya menukar cek sumbangan sebelum tiba tarikh luput selain meminta pesawah beragama Islam menunaikan zakat padi.

unknown (2)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco cabar Umno tunai janji bantu petani

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Negeri mencabar Umno-Barisan Nasional (BN) menunaikan janji membantu golongan tani di Selangor seperti dinyatakan sebelum ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, keperluan itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat manfaat terbaik tanpa mengambil kira sentimen politik.

“Umno kini terdesak. Mereka masih belum menunaikan janji untuk memberi bantuan khusus kepada mangsa serangan wabak hawar daun bakteria (BLB).

“Parti itu berdalih dengan menyembunyikan tanggungjawab di sebalik pemberian bantuan subsidi, malahan dengki dengan tindakan pantas Kerajaan Negeri membantu pesawah dan mangsa BLB menerusi peruntukan besar,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos kononnya Kerajaan Negeri gagal menyalurkan keperluan bantuan kepada petani yang terkesan ekoran wabak BLB.

Sebelum ini, RM8.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membantu pengusaha tani yang terjejas ekoran serangan wabak terbabit.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Proses akhir kemas kini agihan bantuan BLB

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pengagihan bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB) dilakukan secara berperingkat, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, tidak timbul sebarang isu kononnya pengagihan tidak disalurkan secara adil memandangkan senarai pengusaha tani yang terjejas masih lagi dalam proses kemas kini.

“Berdasarkan bancian Jabatan Pertanian, senarai lot yang terkena serangan BLB sudah dikenal pasti berserta nama pengusaha untuk diedarkan kepada ketua blok bagi mengesahkan pengusaha sebenar yang mengusahakan lot berkaitan.

“Ketua blok mengemukakan senarai dikemas kini kepada Jabatan Pertanian berserta dokumen salinan kad pengenalan untuk proses pembayaran. Senarai yang dikemas kini dijangka siap pada 21 April ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, selepas proses kemas kini selesai, Jabatan Pertanian akan mengemukakan senarai kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk proses pembayaran bantuan pada kadar RM960 mengikut lot.

ZAIDY TALIB (2)“Majlis penyerahan cek akan dibuat secara berperingkat oleh Kerajaan Negeri, namun sebelum bantuan diberikan, Kerajaan Negeri sudah mengedarkan input baja mikrob sebanyak 2,000 botol untuk 2,000 lot sawah terlibat dan 2,600 racun rumpai bagi 2,600 lot sawah.

“Jumlah peruntukan terlibat dianggarkan RM942,000,” katanya.

Untuk makluman, sektor pertanian adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun keprihatinan Kerajaan Negeri melangkaui fungsi sebenar dasar berkebajikan itu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan rungutan pengusaha tani yang masih belum menerima bantuan BLB walaupun peruntukan RM8.5 juta sudah diluluskan di peringkat negeri.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada isu berat sebelah bantuan pesawah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Tiada isu berat sebelah terhadap penyaluran bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB).

Justeru, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos kononnya bantuan tidak diagihkan secara adil hanya fitnah.

“Memang dakwaan (Jamal) tidak betul dan bersifat tohmahan. Untuk makluman, edaran dibuat berdasarkan bancian dijalankan Jabatan Pertanian Negeri berkenaan kadar kerosakan hasil tani.

“Bantuan pula disalurkan kepada pengusaha dan bukannya pemilik sekitar 15,000 (hasil semakan awal),” katanya ringkas kepada SelangorKini.

Memetik laporan Sinar Harian, Jamal mendedahkan wujud agihan bantuan bersifat politik dan tidak disalurkan kepada pesawah di kawasan terlibat.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan bantuan RM8.5 juta sebagai inisiatif berkebajikan pengusaha walaupun keperluan itu sebenarnya di bawah bidang kuasa pentadbiran Putrajaya.

Zaidy Abdul Talib (1)Serangan BLB sejak awal Januari lalu menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

Setakat ini tiada kawalan ampuh mampu menghalang serangan BLB yang boleh dibawa manusia, peralatan dan angin.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesawah harap Kerajaan Negeri dikekalkan demi kebajikan rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Bantuan pantas Kerajaan Negeri menghulur peruntukan RM8.5 juta bagi pesawah yang terkesan serangan penyakit hawar daun (BLB) ternyata membawa kelegaan.

Bercakap kepada Selangor Kini, anak jati Sungai Besar, Mohd Yusof Mohd Tahir, 75, berkata, beliau berpuas hati dengan keprihatinan ditonjolkan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, dapat kurangkan beban selain memberi semangat untuk bangkit terus mengusahakan sawah yang sebati dengan jiwa kami ini.

PESAWAH SABAK BERNAM (3)“Apa yang diharapkan, Kerajaan Negeri sedia ada ini dikekalkan dan jangan bertukar demi kebajikan rakyat,” katanya yang kerugian hampir empat tan metrik padi akibat BLB, pada musim lalu.

Turut bersetuju, Saadiah Samdin, 63, yang menyifatkan BLB memberi kesan besar kepada hasil pendapatannyayang bergantung penuh kepada hasil padi.

“Kebiasaannya kami dapat hasil sehingga tujuh atau lapan tan tetapi hasil merosot sehingga 60 peratus ketika serangan BLB.

“Dengan bantuan Kerajaan Negeri, ia dapat membantu kami yang buntu ke mana harus dituju dengan masalah menimpa ini,” kata nenek kepada 13 cucu itu.

Sementara itu, Siti Rohani Salleh, 65, mengakui sumbangan Kerajaan Negeri itu satu-satunya bantuan yang diterima sehingga kini.

“Sejak BLB menyerang empat bulan lalu, inilah bantuan yang saya dapat, jadi sangat berterima kasih dengan Dato’ Menteri Besar.

“Diharap bantuan terhadap pesawah dapat diteruskan pada masa akan datang supaya dapat meningkatkan hasil seterusnya taraf ekonomi kami di luar bandar,” katanya yang menetap dan mengusahakan sawah di Sungai Dorani.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyampaikan bantuan kewangan RM960 bagi setiap lot kepada 8,953 pesawah yang terjejas dengan BLB.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

500 pesawah terima baja organik atasi BLB

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 13 JAN: Seramai 500 pesawah di DUN Sungai Panjang menerima bantuan baja organik bernilai RM250 setiap seorang bagi mengawal serangan penyakit hawar daun bakteria (BLB).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sumbangan itu mampu membantu petani mengelakkan kerugian sika serangan BLB dapat dikawal atau dicegah.

“Kerajaan Negeri juga berharap petani memperolehi hasil lebih baik untuk pendapatan mereka selepas mengalami kerugian ekoran BLB, sebelum ini.

“Buat masa ini, wabak BLB masih belum ada penawarnya, namun kita yakin ia boleh dikawal jika petani mengikut langkah disarankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bantuan Baja kepada pesawah DUN Sungai Panjang di Dewan Orang Ramai Simpang Lima, di sini, semalam.

IMG_20170112_181708_587Hadir sama, Pengarah Pertanian Selangor, Idrus Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Akma Ngah Hamid.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM800,000 bagi membantu pesawah di daerah itu yang terjejas ekoran wabak BLB.

Pada 5 Disember lalu, serangan BLB menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

-AA-

Categories
SELANGOR

Petani alukan bantuan baja organik, atasi masalah BLB

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 12 JAN: Bantuan baja organik diterima melegakan petani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak yang menganggap pemberian itu akan mengurangkan kemusnahan tanaman padi diusahakan mereka.

Sejak November tahun lalu, petani di kawasan itu berdepan masalah besar apabila ia berlaku mengakibatkan hasil pertanian terjejas sekali gus menanggung kerugian.

Abdul Rahman Mutibat, 30, dari Parit 8 berkata, bantuan itu disambut baik kerana ia adalah salah satu insiatif Kerajaan Negeri dalam mengurangkan bebanan petani yang ditimpa musibah berkenaan.

Jpeg

“Walaupun belum ada jawapan terhadap BLB tetapi ia sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah yang berlaku di sini.

“Sememangnya petani di kawasan ini mengalami masalah apabila ia terjadi dan kerosakan hasil tanaman yang banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Seramai 2,000 petani DUN Sabak menerima bantuan baja organik disampaikan Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib di Dewan Orang Ramai, di sini, semalam.

Jpeg

Sanusi Hassan, 61, dari Parit 4 Timur berkata, BLB menyebabkan kemusnahan teruk hasil tanamannya dan beliau tidak pasti bila ia akan berakhir.

“Bantuan ni bagus, mungkin agak lambat tetapi pastinya ia antara cara yang betul dalam mengurangkan kerosakan berlaku,” katanya.

Jpeg

Begitu juga Shuaib Hari, 55, dari Parit 3 Barat menyatakan ia adalah tempoh sukar bagi petani di DUN itu namun usaha berterusan perlu dilakukan supaya ia dapat diatasi serta mereka tidak mengalami kerugian.

“Kita di sini semua menghadapai masalah akibat BLB dan kemusnahan berlaku hampir 70 peratus.

“Bantaun baja ini dengan khidmat nasihat diberi diharap mampu membantu menyelesaikannya,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Serangan BLB: RM800,000 bantu petani terjejas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 DIS: Kira-kira RM800,000 bakal diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membantu petani yang terjejas ekoran serangan Hawar Daun Bakteria (BLB), baru-baru ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sebahagian daripada bantuan terbabit akan disampaikan, pada awal tahun hadapan.

Katanya, ia diberikan dalam bentuk peralatan dan barangan keperluan untuk pengawalan serangan.

“Kita akan melihat bentuk bantuan yang diperlukan sama ada dalam bentuk pemberian racun atau baja mikrob.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu petani terjejas memulihkan hasil mereka,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, serangan BLB dilapor menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

Zaidy berkata, setakat ini tiada kawalan ampuh mampu menghalang serangan BLB yang boleh dibawa manusia, peralatan dan angin.

-AA-