Categories
KENYATAAN MEDIA

Tahun Baru, Zaman Baru!

Dalam beberapa jam lagi, kita bakal mengucapkan selamat jalan kepada 2016; 12 purnama antara yang paling mencabar pernah kita saksikan, baik sebagai kaum muda anak semua bangsa Malaysia, mahupun sebagai kaum muda anak seluruh warga dunia.

Sepanjang 12 purnama yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai tragedi dan episod yang dipaparkan.

Kecelaruan politik dan sosial di benua Amerika menutup kembali cita-cita besar pemuka bangsa suatu masa dahulu, menjadikan mereka seolah kembali ke zaman gelap, zaman penuh penindasan.

Di Eropah, pemecahan bangsa dan negara terus menjadi kegusaran harian. Sekian dekad penyatuan bangsa menjadi taruhan, sekali sahaja keegoan dan kepentingan politik memusnahkan seluruhnya. Peperangan dan pembunuhan masih tidak surut di Timur Tengah.

Keganasan atas nama agama, baik oleh yang kiri mahu pun kanan – yang melawan mahupun yang dilawan masih terus dijaja. Keimanan seolah dikira menggunakan butir peluru, bukan amal baik. Di mana-mana pelusuk dunia seolah dirundung duka.

Biar demikian gelapnya 12 purnama yang kita lalui, dalam masa yang sama; disebalik tragedi dan episod-episod ini, tetap terselit berita-berita gembira buat warga dunia.

Sekurang-kurangnya di Afrika Barat, hak asasi manusia mulai diterap nilainya ke dalam sistem negara. Di Antartika, lapisan ozon mulai pulih. Haiwan-haiwan yang diancam kepupusan mulai kembali hidup di benua berbeza. Di Asia Selatan, hukum dan undang-undang yang manusiawi kembali tertegak.
Penawar kepada penyakit dan wabak yang sekian lama mengancam manusia mulai ditemui oleh pengkaji yang setia. Asia Timur, demokrasi makin subur. Inilah yang disajikan oleh dunia kepada kita sepanjang 2016.

Begitu juga negara kita. Teruk kita terjejas dengan skandal kewangan dan korupsi antara terbesar pernah direkodkan sejarah dunia. Tragedi ini mencalarkan maruah kita semua sebagai warga, dan yang lebih serius – merosakkan negara kita dan warganya. Alangkah sedih – ianya berpunca daripada pemimpin nombor wahid kita sendiri.

Kita turut disajikan dengan tingkah dan laku yang jijik oleh pemecah bangsa. Di saat anak bangsa cuba untuk bangkit melawan dan menyelamatkan negara, tidak sedikit dari kita yang diancam dari segenap sudut.

Keganasan politik yang berlaku, ditambah dengan penahanan teman-teman melawan oleh penguasa menambah derita dalam langkah dan perjalanan kita.

Namun disebaliknya, terselit juga yang baik buat kita semua.

Anak siswa makin diiktiraf suaranya. Biar ditekan, mereka kini makin didengari.

Begitu juga dengan pemuka politik kita. Biar kita fahami kalau setiap pemain dalam lapangan politik tersebut ada kepentingan sendiri setiapnya – tidak boleh tidak, penyatuan besar yang dipamerkan oleh mereka yang dahulunya bermusuh harus diraikan sebagai titik baru dalam gerakan politik perubahan dalam negara.

Kita juga menyaksikan kebangkitan orang-orang kecil nun jauh di Pantai Timur yang tidak putus asa mempertahankan bukan sahaja maruah, malah alam yang didiami mereka.

Episod-episod ini mengingatkan kita kepada apa yang tertulis dalam A Tale of Two Cities karangan Charles Dickens –

“It was the best of times, it was the worst of times, it was the age of wisdom, it was the age of foolishness, it was the epoch of belief, it was the epoch of incredulity, it was the season of Light, it was the season of Darkness, it was the spring of hope, it was the winter of despair.”

Menjelang esok tahun nan baru, tentu sekali kita tertanya-tanya – apakah mampu kita tinggalkan 2016 sebegitu sahaja? Apakah mampu kita hadapi 2017 yang bakal menjengah?

Mengambil iktibar daripada apa yang telah kita lalui sepanjang 12 purnama yang lalu, tidak salah jika ada kerisauan dalam kalangan kita. Kita ini bukan pesimis yang hanya ingin mengeluh. Kita ini seperti yang diimpikan oleh Hassan Al Banna – pemuda pemudi yang malamnya tidak lena mengenang masalah umat dan negara.

Kita wajar kekal optimis. 2017 ini peluang kita. Kita sudah melalui 2016 yang mencabar, kita pasti dapat lalui 2017 yang bakal lebih sukar.

Mengambil semangat yang pernah kita paparkan kala Bersih 5 yang lalu – ayuh satukan tenaga, demi sebuah Malaysia yang baru.

Selamat tahun baru, selamat melalui zaman baru!

Dikeluarkan bagi pihak Jurucakap Demi Malaysia:
Adam Adli, Anis Syafiqah , Amir Abd Hadi, Chan Tsu Chong, Rashida Kamal (Wakil Sabah), Simon Siah (Wakil Sarawak), Mia Yusri (Wakil Komuniti Orang Asal).