Categories
NASIONAL

Terus sumbang bantu Aleppo demi kemanusiaan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Rakyat disaran merujuk kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berada di lapangan bagi mendapatkan sumber maklumat tepat dalam situasi menimpa penduduk Aleppo, Syria.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, konflik kemanusiaan di Aleppo menarik perhatian pelbagai pihak bagi menyatakan simpati terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas rakyat Syria.

“ABIM menyaran rakyat Malaysia merujuk kepada NGO-NGO Islam yang berada di lapangan sebagai sumber utama bagi mengetahui keadaan terkini di Syria bagi kita semua maklum dengan maklumat yang tepat,” katanya dalam sidang media di Restoran Line Clear, Kampung Baru hari ini.

Faisal berkata, ABIM menubuhkan sebuah NGO bersama iaitu Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) bagi menghantar misi kemanusiaan ke negara bergolak itu.

Katanya, misi yang dinamakan “Misi Musim Sejuk 4.0” akan menghantar bantuan seperti kit musim sejuk, ubat-ubatan, makanan dan dana untuk pendidikan.

“Kita menghantar kit musim sejuk, ubat-ubatan, pendidikan dan bantuan makanan. Sumbangan itu akan disasarkan kepada rakyat Aleppo yang dipaksa keluar dari Idlit, Syria,” katanya.

Antara NGO yang bernaung di bawah MILLFS ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKKIM), Pertubuhan Kebajikan Nurul Iman (LOF), Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA), Pertubuhan Ilmu Malaysia (ILMU), Malaysia Reverted Muslim (MRM) dan Global Peace Mission Malaysia (GPM).

Selain itu pihak lain yang turut sama adalah Nasi Kandar Line Clear Kampung Baru, Yayasan Ta’lim, Alkhadeem, Pustaka Bushra, Baitulssalam, Arr Sunnah Management dan Rahyanah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS, Syahril Azfar Saleh berkata, sehingga kini pihaknya sudah berjaya mengumpulkan dana RM200,000, namun masih memerlukan dana tambahan RM300,000.

“Kita sasar kutipan RM500,000. Sehingga kini kita berjaya mengumpul RM200,000 dan memerlukan RM300,000 dalam dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan misi kemanusiaan seramai lima orang itu berangkat ke Aleppo pada awal Januari tahun depan selama sebulan.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai misi bantuan boleh melayari Malaysia4syria.org atau jika ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan kepada akaun Maybank 5648-1051-3971.