Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada kompromi buat peniaga jika tandas kotor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan lebih giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan berkala di setiap premis makanan bagi memastikan kebersihan tandas di kawasan pentadbirannya mencapai standard ditetapkan.

Ahli Majlis MBSA, Tan Ah Kow berkata, pemilik premis akan dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Undang-undang Kecil MBSA 2007, perlesenan, trade dan perniagaan sebanyak RM500 sekiranya gagal berbuat demikian.

Katanya, hal demikian bagi mendidik pemilik dan pengusaha supaya bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan tandas awam bagi keselesaan pengguna.

MBSA“Ketika ini, isu dan masalah kebersihan tandas awam mendapat perhatian masyarakat kerana ia mempunyai implikasi ke atas tahap kebersihan, sekali gus menyumbang jangkitan penyakit.

“Justeru, kita tidak mahu isu ini mencemarkan nama baik bandar raya Shah Alam,” katanya di Seminar Kebersihan Kebersihan dan Pengurusan Tandas Berkualiti di Zon Selatan Seksyen 23-36, di Bukit Kemuning Golf, di sini.

Ah Kow berkata, semua premis makanan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap penjagaan tandas, sekali gus mendidik pengguna untuk menggunakan tandas secara berhemah dan menjauhi vandalisme melalui penguatkuasaan serta pemantauan.

“Kita tidak boleh berkompromi dan memandang remeh soal kebersihan dan penyelenggaraan tandas di kawasan MBSA. MBSA amat serius dalam isu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pengendali premis makanan dapat memberikan kerjasama memastikan kebersihan tandas masing-masing mengikut piawaian yang ditetapkan.

-NFN-