Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada unsur sabotaj roboh hotel Jamal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 23 DIS: Tiada unsur sabotaj berhubung tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) merobohkan resort milik Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman berkata, tindakan itu dilakukan ekoran resort terbabit tidak mempunyai sijil perakuan siap dan pematuhan, Certificate of Completion and Compliance (CCC).

“Untuk makluman, perkara ini berlanjutan sejak 2011 dengan pihak perunding juga MDSB sudah memaklumkan kepada pemilik, namun ia enggan dipatuhi.

“Memandangkan syarat itu tidak dipenuhi, maka kami mengambil tindakan berpandukan proses (SOP) dan lunas undang undang sedia ada untuk meneruskan sitaan,” katanya.

Mengulas dakwaan Jamal bahawa perobohan itu bermotif politik, Azlinda menyifatkan kenyataan terbabit sebagai dangkal memandangkan MDSB sudah mengeluarkan kompaun juga amaran sebelum ini.

Terdahulu, MDSB menghantar notis perintah tutup operasi resort berkenaan dan merobohkannya ekoran pemilik didapati menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel MDSB, 2013.

Notis itu turut menyebut Jamal melakukan kesalahan terbabit di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai Redang, Sekinchan.

-AA-