Categories
PBT SELANGOR

MDSB sedia tong minyak masak terpakai, galak masyarakat buang cara betul

SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengambil inisiatif meletakkan tong kitar semula minyak masak terpakai di lima lokasi sebagai usaha ke arah kelestarian alam.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan minyak masak terpakai memudaratkan kesihatan jika digunakan semula seperti arteri tersumbat, serangan jantung, risiko kanser dan kemandulan.

“Jelasnya secara kebiasaan sisa minyak masak dihasilkan daripada dapur rumah, restoran dan gerai dan selepas minyak menjadi sisa ia dibuang ke longkang atau terus curahkan ke sinki.

“Sudah tahu? Selepas ini jangan buang lagi sisa minyak terpakai sembarangan, maklumnya menerusi Facebook.

Menurut MDSB sebagai permulaan. tong kitar semula itu diletakkan di lima lokasi iaitu Restoran Abah Ikan Bakar D’Muara Sungai Haji Dorani, Restoran Kuala Kurau Sungai Besar; Medan Selera Jalan Tebedu Sabak, Taman Perwira Sungai Besar dan Restoran Sri Kassim Sekinchan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majlis daerah nafi wujud kluster Pasar Awam Sungai Besar

SHAH ALAM, 24 JULAI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menafikan dakwaan terdapat 60 kes positif Covid-19 yang dikaitkan dengan Pasar Awam, Sungai Besar.

Yang Dipertuanya Azman Dahlan berkata dakwaan wujud kluster di pasar terbabit seperti tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat kenyataan palsu sehingga mengundang permasalahan, kebimbangan dan ketakutan kepada orang ramai serta pengunjung pasar khususnya peniaga Pasar Awam, Sungai Besar.

“Anda juga diingatkan tidak berkongsi maklumat tidak pasti kerana boleh mewujudkan pelbagai persepsi yang salah kepada awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semakan Selangorkini mendapati seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Puan Ziema Rasman memuat naik status mendakwa kekurangan pelanggan sejak berita palsu itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Hari Sabtu, tak pernah-pernah seperti ini (lengang) mana individu yang tularkan berita Pasar Awam Sungai Besar 60 orang positif itu?

“Datang la borong sayur saya, modal tidak lepas, tengah seronok lihat kesusahan orang lain ke ? sebab mulut semua peniaga pasar ini terjejas,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

Pasar pagi, malam di Sabak Bernam mula Jumaat ini

SHAH ALAM, 15 JUN: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) membenarkan pasar pagi dan malam kembali beroperasi secara berperingkat bermula Jumaat ini.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua pasar di Sabak akan mula dibuka pada Jumaat dan Sabtu manakala di Sungai Besar dan Sekinchan pada 23 dan 24 Jun.

“Meja pendaftaran akan dibuka di setiap lokasi pasar pagi dan malam bagi memudahkan peniaga serta nombor petak turut diberikan sebelum mereka mulakan perniagaan,” katanya menerusi Facebook.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Pelesenan, MDSB melalui talian 03-224 1000 atau pegawai pelesenan, 013-340 1232.

Pada 12 Jun lalu, Kerajaan Negeri memutuskan operasi pasar pagi dan malam serta bazaria di Selangor dibuka secara berperingkat di lokasi terpilih mulai 15 Jun mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pengurusan dan kawalan perniagaan itu ditentukan PBT mengikut kesesuaian kawasan dengan merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

Categories
PBT

MDSB buat ujian saringan Covid-19 pada 336 peniaga pasar

SHAH ALAM, 11 MEI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjalankan ujian saringan ke atas 336 peniaga dari lapan pasar awam bagi membendung penularan virus tersebut.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memaklumkan antara pasar awam terlibat adalah Pasar Awam Sekinchan, Pasir Panjang, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Pasar Awam BNO, Sungai Air Tawar dan Sabak serta Jeti Ikan Sekinchan.

“Saringan itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran banyak kes positif berlaku di Pasar Borong Selayang selain memastikan seluruh pasar awam di Sabak Bernam bebas Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Ujian saringan bermula jam 8 pagi hingga 1.30 petang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr Liza Abd Latif.

Turut terlibat membantu melancarkan perjalanan ujian itu ialah petugas dari pusat kesihatan daerah, klinik kesihatan, polis, Rela dan Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Kerja Raya.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan susulan 28 kes Covid-19 direkodkan di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.

Categories
PBT SELANGOR

MDSB wajibkan penjaja, penyewa premis guna SELangkah

SHAH ALAM, 7 MEI: Semua penjaja, penyewa gerai dan kedai Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) perlu menggunakan sistem SELangkah bagi memudahkan pengesanan kontak Covid-19.

Sistem imbasan kod QR di pautan www.selangkah.my diwajibkan di semua premis kerajaan dan perniagaan, pejabat serta pusat membeli-belah di Selangor.

“Norma baharu ini perlu dipatuhi demi mengesan punca kontak jika didapati ada dalam kalangan pelanggan atau pekerja dijangkiti Covid-19,” kata MDSB dalam kenyataan di Facebook.

Katanya, pihak berkaitan perlu memuat turun ‘Google Lens’ melalui ‘Play Store’ pada telefon bagi membolehkan pendaftaran imbasan kod QR untuk merekod kehadiran pelanggan termasuk kakitangan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan mereka yang kurang mahir boleh berurusan di kaunter Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDSB dari 8 pagi hingga 2.30 petang esok.

SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki sesuatu premis dengan mudah dan pantas.

Menerusinya, pengunjung dan pelawat hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat seperti nama dan nombor telefon.

Categories
PBT SELANGOR

MDSB wajib penghantar makanan daftar, mudah operasi

SHAH ALAM, 23 APRIL: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mewajibkan semua penghantar makanan persendirian membuat pendaftaran bagi kemudahan operasi mereka.

MDSB memaklumkan permohonan pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://forms.gle/xCEcXgeSeQmcaB8k7

“Kad perakuan daftar akan dikeluarkan kepada pemohon dan hendaklah dibawa, dipakai atau dipamerkan semasa menjalankan kerja-kerja penghantaran makanan. Sebanyak RM10 dikenakan bagi bayaran proses kad tersebut,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Untuk maklumat dan pertanyaan, boleh dibuat menerusi Messenger Facebook MDSB atau menghubungi pejabat pihak berkuasa tempatan itu melalui talian 03-32241000 atau 03-32241655 mulai jam 9 pagi hingga 4 petang bermula hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

500 peserta bakal jaya Larian Bendang Sabak Bernam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 5 NOV: Majlis Daerah Sabak Bernam menyasarkan penyertaan kira-kira 500 peserta tempatan dan antarabangsa, pada Program Larian Bendang, di Stadium Sungai Besar, di sini, pada 10 November ini.

Setiausahanya, Mohd Muktafi Sarpan berkata, program kali ketiga itu diadakan sempena Karnival Pelancongan Sabak Bernam 2018.

“Pendaftaran program bermula pada jam 6 pagi dan pelepasan larian dijangka, pada jam 7 pagi.

“Bagi kategori Man Master, Man International dan Women International, peserta akan berlari sejauh 13 kilometer (km), manakala kategori Women Master 10km serta larian santai 6km,” katanya.

Katanya, program itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM13,000.

Antara pengisian program lain sempena karnival berkenaan adalah Ekspo Karnival Pelancongan, Raja Catur Sabak Bernam, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan Pentas dan cabutan bertuah.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.myrunners.org/events/larian-bendang-sungai-besar-2018/.

Categories
SELANGOR

MDSB buka iklan, tampal notis premis kosong

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 30 OGOS: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sentiasa membuka iklan sewa dan menampal notis premis kosong setiap empat bulan sekali.

Yang Dipertuanya, Mohd Faizul Fitri Muslil bagaimanapun berkata, kekosongan premis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu hanya bergantung kepada permintaan dan penawaran penduduk setempat, khusunya.

“Jumlah kekosongan premis tahun lalu ialah sebanyak 127 unit dan sebahagian besarnya ialah petak Pasar Awam Sabak, Pasir Panjang dan Sungai Air Tawar.

“Justeru, kepada yang berminat boleh berhubung terus dengan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDSB,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohd Faizul berkata, sebanyak dua daripada 16 unit premis perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Parit 16 Sungai Panjang masih kosong.

“Premis terbabit terdiri daripada perniagaan runcit, kedai makan, menjual baju, membekal dan menjual ais, bengkel kereta, kilang kerepek, kilang memproses kaki ayam, membekal dan menjual lemang frozen.

“Sebahagian peniaga pula berniaga di luar kawasan dan hanya menjalankan operasi di waktu tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kaunter van bergerak setiap bulan bagi memudahkan penyewa untuk membayar sewa.

Katanya, sebanyak 75 peratus daripada hasil kutipan sewa keseluruhan terkini berjaya dikutip MDSB.

“Pihak kami akan menjalankan operasi kutipan tunggakan hasil seperti tunggakan cukai taksiran dan kompaun bermula 3 September depan.

“Ia perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan denda lewat dan sita kepada individu yang ingkar menjelaskan tunggakan cukai taksiran.

“Kami juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu yang gagal menjelaskan kompaun MDSB,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Jom sertai Pertandingan Memancing Terbuka MDSB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bakal menganjurkan Pertandingan Terbuka Memancing Ikan Air Tawar, di Parit 1 Timur, Pejabat Agama Islam MDSB, pada 4 Ogos ini.

MDSB menerusi Facebook berkata, program dengan kerjasama Kelab Sukan Kebajikan Sosial dan Kelab Memancing Monster itu dibuka penyertaannya kepada semua lapisan masyarakat, berumur 12 tahun ke atas.

Katanya, setiap peserta yang berminat hanya dikenakan bayaran RM30 untuk satu joran.

“Namun, peserta boleh mendaftar lebih daripada satu joran dan hanya joran yang berdaftar dibenarkan untuk bertanding.

“Penggunaan joran moden seperti gewang besi, karbon, aluminium buluh pelepah dibenarkan.

“Setiap joran peserta yang mempunyai pelekat berdaftar sahaja dibenarkan berada di tempat pertandingan dan jika tidak, penyertaan peserta terbabit akan dibatalkan,” katanya.

Selain itu, pertandingan turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM5,000.

Lebih menarik, pengunjung dan pemancing berpeluang menyertai aktiviti sampingan seperti pertandingan teka biji labu, pakaian tradisional paling unik dan cabutan bertuah.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Saiful Syafiq (012-2974663) dan Roslan (0137668227).

Categories
PBT SELANGOR

MDSB kaji pindah tapak bazar Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bersedia mempertimbangkan permohonan peniaga bazar Ramadan di dua lokasi berpindah ke tempat lain bagi mengurangkan risiko kacau ganggu.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporatnya, Noraini Ahmad berkata, ia ekoran terdapat rungutan daripada peniaga berhubung kekurangan pelanggan hingga menjejaskan pendapatan peniaga.

Katanya, dua lokasi itu membabitkan tapak A di kawasan parkir sebelah Pasar Awam Sungai Besar dan tapak C, di Dataran Tonggak 10.

“MDSB mengambil maklum keluhan peniaga yang mahu berpindah ke lokasi lain kerana dikatakan tidak selamat dan terganggu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga tapak bazar Ramadan dibuka tahun ini, termasuk sebuah lagi tapak B di Jalan Bunga Matahari yang juga menempatkan medan selera.

“Kewujudan tiga tapak ini dibuat ekoran keluhan segelintir peniaga tapak A yang mengadu perniagaan mereka kurang laku dan tiada sambutan.

“Selain itu, masalah kesesakan lalu lintas di jalan besar berdekatan simpang masuk ke Jalan Stadium turut dihadapi kerana terdapat perumahan dan pasar raya yang menyukarkan penduduk menggunakan jalan itu,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDSB nafi kenakan caj mahal terhadap peniaga

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menolak dakwaan kononnya mengenakan caj tinggi terhadap peniaga sehingga mencecah RM4,500 bagi seunit tapak niaga khemah bazar Ramadan 2018 seperti tular di media sosial, Facebook.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporatnya, Noraini Ahmad berkata, MDSB hanya menawarkan caj maksimum sebanyak RM2,500 untuk seunit tapak khemah bersaiz 6 meter x 6 meter dan RM160 untuk tapak saiz 3 meter x 3 meter.

Katanya, terdapat pihak lain yang cuba mengambil kesempatan dengan membeli tapak niaga dan menjual kepada pihak lain dengan harga jauh lebih tinggi.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita beranggapan ada pihak mengambil kesempatan dengan menjual petak tersebut dan telah menyebarkannya kepada orang awam yang mahu berniaga.

“Pihak kami amat kesal apabila maklumat tidak tepat itu tersebar mengaitkan MDSB, sedangkan perkara itu dilakukan pihak berkepentingan untuk mengaut keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Noraini berkata, mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan Yang Dipertua MDSB malah belum menyerahkan surat kepada pihak penganjur dilantik bagi menguruskan bazar Ramadan terbabit.

“Kita tidak tahu macam mana perkara ini tersebar, sedangkan surat belum lagi dikeluarkan kepada penganjur walaupun sudah diluluskan dalam mesyuarat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna media sosial supaya jangan membuat tuduhan tidak berasas kerana ia mengelirukan fakta, sekali gus mengundang fitnah.

“Justeru, mana-mana peniaga yang berminat untuk berniaga di bazar Ramadan boleh terus ke Jabatan Perlesenan MDSB untuk berurusan.

“Kita juga minta jasa baik peniaga supaya membuat aduan dan menghubungi terus Unit Korporat dan Perhubungan Awam MDSB untuk mengetahui maklumat lanjut,” katanya.

Sebelum itu, tular kenyataan seorang pengguna Facebook yang mendakwa MDSB menjual khemah dengan ‘murah’ RM4,500.

Pemilik akaun itu memuat naik status meminta MDSB sewajarnya membantu peniaga dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MDSB terima YDP baru

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Mohd Faizul Fitri Muslil dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam baharu.

Majlis Penyerahan Surat Penempatan dan Penyampaian Amanat itu disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya di pejabatnya, semalam.

Mohd Faizul menggantikan Yang Dipertua MDSB sebelum ini iaitu Azlinda Azman.

Mohd Amin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Mohd Faizul atas pelantikan terbabit.

MDSB adalah salah sebuah dari 12 pihak berkuasa tempatan sejak 1977.

Sebelum diisytihar sebagai Majlis Daerah, MDSB dikenali sebagai penguasa tempatan iaitu Majlis Tempatan dan Lembaga Bandaran.