Categories
SELANGOR

Turunkan tambang pengangkutan awam

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 15 DIS: Kerajaan Persekutuan disaran menurunkan tambang perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini termasuk Mass Rapid Transit (MRT).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, langkah itu mampu menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan kesesakan trafik terutama ketika waktu puncak.

“Saya tidak pasti sejauh mana penjimatan Kerajaan Persekutuan lakukan untuk projek MRT ini, namun jika benar, turunkanlah tambang untuk rakyat.

“Apalagi dalam keadaan kegawatan ekonomi, saya pasti langkah itu bakal melonjakkan jumlah pengguna pengangkutan awam,” katanya.

yb teng 5 (1)Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Operasi Fasa Pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di Stesen MRT Kwasa Damansara, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, orang ramai juga perlu mempunyai inisiatif untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan dengan duit rakyat.

“Jangan asyik minta sahaja untuk buat itu ini tetapi tiada langsung inisiatif menggunakannya.

“Pada masa sama, perkhidmatan diberikan juga perlulah berada pada tahap terbaik dan diperkemas dari masa ke masa seperti kelajuan LRT (Light Rail Transit) yang boleh dipertingkatkan,” katanya.

Kos projek MRT didakwa menelan belanja RM21 bilion, iaitu kurang RM2 bilion daripada kos sasaran berjumlah RM23 bilion.

-AA-