Categories
SELANGOR

Hotel Concorde rai Krismas bersama anak yatim

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 15 DIS: Hotel Concorde Shah Alam meraikan 33 anak yatim dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih (House of Love), Klang dalam satu majlis jamuan makan tengah hari sempena sambutan Krismas.

Pengurus Besarnya, Patrick Ng berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel terbabit untuk berkongsi kegembiraan dengan anak yatim berkenaan.

“Program CSR bukan sahaja berkenaan sumbangan tetapi lebih kepada meluangkan masa dengan anak-anak ini supaya mereka menikmati Krismas dengan lebih meriah memandangkan kebanyakan daripada mereka mempunyai memori buruk dari keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan televisyen LED televisyen 40 inci berserta sumbangan lain bernilai RM3,000.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti pertandingan menghias kek cawan yang dinilai Chef Eksekutif Hotel Concorde, Alham Ahmad Daldiri.

“Sambut kali ini sangat meriah dengan anak yatim ini diberikan bintang nama untuk digantungkan pada pokok Krismas yang dihias sendiri warga kerja Concorde,” katanya.

Sementara itu, Pengasas House of Love, Joseph Pang berkata, beliau bersyukur menerima sumbangan itu dan berharap jalinan terbabit dapat diteruskan, pada masa akan datang.

-AA-