Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ABIM: Pindah kedutaan AS ke Jerusalem marakkan api peperangan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menentang keras hasrat Amerika Syarikat di bawah presiden baru, Donald Trump yang mahu memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Jerusalem.

ABIM-RAIMI-300x236Presidennya, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, tindakan semberono itu umpama mencurah minyak ke dalam api melihat kepada situasi yang genting di Jerusalem.

“Tindakan ini juga membelakangkan beberapa keputusan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sejak kebelakangan ini mengkritik pencerobihan rejim Israel. Pada masa sama, PBB turut mengiktiraf hak Palestin terhadap tanah air mereka termasuk yang terpenting di kawasan Jerusalem atau Baitul Maqdis,” katanya.

Beliau berkata, ia boleh mengundang ketegangan diplomatik dan provokasi yang akan membawa kepada konflik bersenjata jika hasrat itu diteruskan.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Negara, John Kerry berkata, perubahan kedutaan AS ke Jerusalem akan mencetuskan krisis teruk antara Israel dan Palestin kerana kedua-duanya menuntut penempatan di wilayah itu.

Hubungan antara Amerika Syarikat dan Israel dilihat kiang renggang sepanjang lapan tahun Barack Obama berkhidmat dan sampai ke tahap paling buruk pada akhir bulan lalu apabila Washington enggan menggunakan kuasa veto dalam resolusi PBB berhubung penempatan haram Israel itu.

-NFN-