Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar selar kenyataan Irwan ekonomi negara baik

SHAH ALAM 8 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah kerana mengatakan ekonomi negara dalam keadaan baik.

Katanya ia adalah penafian ketara terhadap realiti dihadapi jutaan rakyat Malaysia dengan Kerajaan Persekutuan perlu berhenti memberikan jaminan kosong mengenai ekonomi.

“Irwan mengejutkan rakyat dengan mendakwa ekonomi baik dan semuanya itu hanya ‘persepsi’.

“Ini dusta dan memperkecilkan cabaran sebenar dihadapi jutaan rakyat Malaysia susulan kejatuhan ringgit dan peningkatan harga makanan dan barangan sejak pelaksanaan GST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengkritik tindakan Kerajaan Umno-BN sepanjang 10 tahun lalu dalam menafikan hakikat sebenar, Anwar berkata tindakan serta-merta perlu diambil untuk mengembalikan kehidupan dan harapan rakyat.

“Malaysia tidak boleh mengharapkan untuk menyelesaikan isu itu bila pemimpin dan birokrat tertinggi tidak menangani isu ekonomi tertunggak,” katanya.

=EZY=