Categories
SELANGOR

Banjir: PANTAS siap sedia digerakkan jika perlu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JAN: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS) akan bertindak menggerakkan misi bantuan ke negeri di Pantai Timur yang dilanda banjir, sekiranya keadaan memerlukan.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Hamsah Djabir, berkata situasi ketika ini adalah tidak mendesak dan sebarang usaha ke arah itu masih belum dijalankan.

“Setakat ini kejadian banjir berlaku di Kelantan dan Terengganu adalah terkawal dan ia tidak memerlukan kita untuk bertindak sedemikian.

“Namun kita terus memantau perkara ini dan pastinya PANTAS bersedia dengan misi bantuan sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Ketika ini, Kelantan dan Terengganu mengalami banjir dengan lebih 3,700 orang dipindahkan di kedua-dua negeri berkenaan.

Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 3,764 orang iaitu 2,538 di Terengganu dan 1,226 (Kelantan) sudah dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

PANTAS pernah terbabit dalam misi bantuan ketika kejadian banjir berlaku pada 2014 di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut menyalurkan bantuan sama ke Sarawak ketika negeri di Bumi Kenyalang mengalami musibah serupa pada Mac tahun lalu.

=EZY=