Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bayaran tempat letak kereta pintar mudahkan warga Shah Alam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JAN: Orang ramai kini berpeluang menikmati kemudahan sistem bayaran tempat letak kereta pintar ‘Flexi Parking’ di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, sistem itu memerlukan penggunaan telefon pintar sebagai kaedah alternatif selain kupon gores dan pas bulanan.

Katanya, ia antara inisiatif bagi menambahbaik pengurusan tempat letak kereta supaya lebih efisien dan sistematik.

MBSA03“Orang ramai boleh membuat belian kredit secara talian terus melalui perbankan internet menggunakan telefon pintar. ‘Flexi Parking’ memudahkan proses pembayaran pengguna tanpa perlu mempamerkan kupon gores atau pas bulanan.

“Ia sekali gus berupaya mengurangkan masalah serta aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon,” katanya.

Aplikasi ‘Flexi Parking’ boleh dimuat turun secara percuma di ‘Android Play Store’ atau ‘Apple Apps Store’ dan berfungsi secara dwi bahasa.

Shahrin berkata, pengguna akan diberi makluman peringatan sepuluh minit lebih awal sebelum tamat tempoh letak kenderaan.

“Flexi Parking ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan kertas, ia juga memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi terkini yang memudahkan pengguna, anggota penguatkuasa serta mempertingkatkan kualiti kecekapan perkhidmatan.

“Sistem ini juga selaras hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State, menjelang 2025,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan pelaksanaan sistem ‘Flexi Parking’, orang ramai boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan di talian 03-5510 5133 sambungan 1477 atau 1656 atau 1657 atau 1658.

-NFN-