Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Berundurlah demi kebaikan The Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 JAN: The Red Giants selayaknya diuruskan individu yang arif berkenaan bola sepak selain mempunyai syarikat perunding khas bagi menyelesaikan isu pencarian dana kewangan pasukan tanpa bergantung kepada Kerajaan Negeri.

Pemerhati bola sepak, Azlan Johar berkata, langkah itu dilihat terbaik memandangkan Selangor adalah pasukan elit yang matang dan berjaya dalam arena bola sepak tempatan.

Katanya, Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga perlu berundur secara terhormat tanpa mementingkan kedudukan serta kepentingan peribadi jika gagal membawa perubahan kepada persatuan.

“Kalau anda (Exco FAS) mahu terus memegang jawatan, pastikan anda mampu melakukan sesuatu kepada persatuan seperti mencari dana kerana sudah tiba masanya untuk bergerak sendiri.

“Kita sekarang liga profesional, sepatutunya sudah ada syarikat khas selaku perunding untuk mencari dana buat pasukan dan jika berjaya, mereka selayaknya diberi komisyen.

“Pengurusan kewangan perlu diukur dengan teliti tanpa kepincangan termasuk memperincikan kontrak pemain tempatan, manakala pemain import diberi pemahaman sepenuhnya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Azlan berkata, masalah yang berpanjangan terutama isu gaji dan kontrak akan mengganggu emosi pemain selain menyukarkan jurulatih membuat persiapan rapi.

azlan-joharBeliau berkata, mustahil bagi Selangor mempunyai masalah kewangan kerana mereka adalah antara pasukan yang banyak memasuki perlawanan akhir selain juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

“Selangor tidak kurang 60 kali layak ke perlawanan akhir. Kalau secara purata, duit ‘gate’ yang diperoleh ketika perlawanan akhir adalah RM500,000 yang mungkin sedikit pada masa dahulu, namun kewangan FAS mungkin memiliki sekurang-kurangnya RM30 juta.

“Itu tidak termasuk wang penjualan dan penebusan kontrak pemain,” katanya.

Bekas penyerang Selangor era 90-an itu berkata, krisis yang melanda The Red Giants sangat menyedihkan memandangkan pasukan elit terbabit berjaya melahirkan ramai pemain terbaik.

Beliau turut merakamkan simpati kepada Ketua Jurulatih, P Maniam kerana diberi tempoh singkat menyiapkan pasukan menjelang pembukaan musim Liga Super 2017, pada 21 Januari ini.

“Bola sepak Malaysia sentiasa terbuka ke arah profesionalisme tetapi terbantut kerana banyak individu yang memegang jawatan dalam persatuan takut dipinggirkan sedangkan tidak berkeupayaan menerajuinya,” katanya.

-AA-