Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia: Dagangan meningkat kemudian susut

KUALA LUMPUR 24 JAN: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini tetapi susut kemudiannya susulan pengumuman Presiden Donald Trump menarik diri daripada Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) yang boleh mencetuskan sentimen lebih lemah dalam pasaran Asia, termasuk Malaysia, kata pedagang.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.64 mata kepada 1.670.67, selepas dibuka 3.7 mata lebih tinggi pada 1,674.37. Indeks itu ditutup pada 1,671.31 semalam, lapor BERNAMA.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 105 berbanding 81 dengan 150 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak didagangkan dan 35 yang lain digantung.

Sejumlah 90.44 juta saham bertukar tangan bernilai RM39.31 juta.

AS memainkan peranan utama dalam TPP dan sekiranya negara itu menutup pintu kepada perdagangan, ia akan memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi global.

Sebanyak 12 negara bersempadan Lautan Pasifik memeterai TPP pada Februari 2016, mewakili 40 peratus pengeluaran ekonomi dunia.

Pakatan itu menyasar mengukuhkan pertalian ekonomi dalam kalangan negara anggota dan memupuk perdagangan dan melonjakkan pertumbuhan.

Negara ahli ialah Jepun, Malaysia, Vietnam, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru.

Indeks FBM EMAS susut 0.99 mata kepada 11,698.58 dan FBM EMAS Syariah menokok 5.37 mata kepada 12,199.15.

Bagaimanapun, FBMT100 susut 0.63 mata kepada 11,403.69.

FBM 70 mengukuh 13.59 mata kepada 13,351.52, tetapi FBM ACE susut 0.52 mata kepada 4,932.86.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank dan Petronas Chemicals menokok dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.30 dan RM7.15, sementara Public Bank susut 12 sen kepada RM20.04 dan Sime Darby jatuh dua sen kepada RM8.68.

Tenaga mendatar pada RM13.90.

Nestle jatuh 40 sen kepada RM74.60, SP Setia susut 13 sen kepada RM3.14, Public Bank dan Hap Seng susut 12 sen setiap satu masing-masing kepada RM20.04 dan RM8.75.

=EZY=