Categories
GLOBAL

Hampir 50,000 terjejas gelombang baru banjir Selatan Thailand

PATTANI 24 JAN: Gelombang banjir terbaru melanda wilayah Pattani dan menyebabkan 49,328 penduduknya terjejas manakala golongan peniaga pula menanggung kerugian besar berikutan kemusnahan terhadap tanaman serta ternakan mereka.

Gabenor Pattani Wirana Pengjan berkata lima daerah di wilayah itu iaitu Muang, Yarang, Khokpo, Mea-Lan dan Nong Chik masih ditenggelami air pada ketika ini, lapor BERNAMA.

“Sejak awal pagi tadi, air mulai memasuki rumah-rumah di tepi Sungai Pattani seperti Mukim Paka Harang, kampong bersejarah Chabang Tiga manakala di daerah Muang, terdapat 300 buah rumah ditenggelami air sedalam 1 hingga 2 meter,” katanya kepada pemberita.

Beliau memberi amaran kepada pemilik premis perniagaan di bandar Pattani supaya bersiap sedia untuk berpindah ekoran kenaikan paras air banjir berikutan hujan lebat yang kembali melanda wilayah itu sejak beberapa hari lepas.

Menurut Wirana, ini adalah kali keempat wilayah Pattani dilanda banjir di dalam tempoh hampir sebulan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Chatchai Promlert dalam kenyataan hari ini berkata banjir di 12 wilayah selatan Thailand dari 1 Jan sehingga hari ini telah mengorbankan 85 orang manakala empat masih hilang.

Lebih 1.7 juta penduduk di wilayah-wilayah terbabit terjejas akibat bencana itu, katanya.

Bencana banjir melanda selatan Thai sejak awal tahun sehingga hari ini disifatkan oleh pegawai kerajaan sebagai yang terburuk dalam sejarah 50 tahun wilayah itu.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya pula memberi amaran kepada penduduk di selatan Thailand supaya bersiap sedia menghadapi lebih banyak hujan lebat yang memungkinkan banjir mulai sehingga Rabu.

Penduduk turut diberi amaran supaya berwaspada terhadap kemungkinan tanah runtuh, manakala bot-bot kecil diminta berhati-hati berikutan angin kencang dan ombak setinggi sehingga 2 meter di Teluk Siam.

=EZY=