Categories
PBT SELANGOR

Haram guna plastik, polisterina di kawasan pelancongan MPKJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JAN : Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan penggunaan polisterina dan plastik di kawasan pentadbirannya.

MPKJ dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan dasar baru itu turut dibuat menerusi Kempen Tanpa Polisterin dan Plastik di dalam kawasan dan pusat riadah di Taman Eko Rimba Chongkang, bermula 1 Januari lalu.

“Pihak pengurusan akan melaksanakan kempen tanpa polisterin dan plastik dalam kawasan perkelahan ini.

“Sehubungan itu, pengunjung ke Taman Eko Rimba Chongkak tidak dibenarkan membawa sebarang bekas makanan, botol minuman dan beg diperbuat daripada polisterin dan plastik ke dalam taman ini,” kata MPKJ menerusi kenyataan dipaparkan di laman rasminya.

Kempen tersebut turut mendapat sokongan Tourism Selangor ke arah memastikan pelaksanaan dasar baru itu dapat dijayakan di seluruh pentabdiran MPKJ.

Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar tersebut sebagai komitmen memelihara alam sekitar dengan melaksanakan polisi memerangi pembuangan sampah yang berleluasa dan menekankan isu alam sekitar membabitkan isu pemanasan global.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

=EZY=