Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS terima 400 kemasukan pelajar baru

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 JAN: Kemasukan pelajar ke Kolej Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) semakin memberangsangkan dengan seramai 400 pelajar mendaftar pada sessi 2017, semalam.

Pemangku Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Yaman berkata, semakin ramai memilih aliran kemahiran kerana menyedari kepentingan tenaga mahir ini di dalam membangunkan ekonomi negara.

“Selain itu, rata-rata mereka yang hadir juga menyedari latihan TVET semakin mendapat tempat di pasaran kerjaya pada masa kini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berhasrat mengangkat martabat pendidikan kemahiran ke aras lebih tinggi dengan melahirkan alumni INPENS yang berkemahiran dan berkarakter unggul.

“Mereka yang berminat dengan bidang kemahiran, sentiasa boleh menghubungi INPENS untuk mengetahui peluang melanjutkan pengajian di kolej ini, saya percaya bidang kemahiran adalah untuk semua dan bukan hanya untuk golongan keciciran akademik sahaja,” katanya.

INPENS2INPENS yang telah menjalankan kursus kemahiran sejak 2006 kini menawarkan pendidikan kemahiran di dalam pelbagai bidang iaitu automotif, motosikal, penyamanan udara, teknologi maklumat, jahitan, kecantikan, dandanan rambut, kulinari, pastri, elektrik dan elektronik.

Lebih menarik, INPENS menerima seorang pelajar baharu golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan keadaan kaki bersimen dan bertongkat kerana patah kaki akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

Pelajar Khairul Alif Khairuddin, 18, yang berasal dari Banting, Selangor hadir semalam untuk sesi mendaftarkan diri di dalam kursus elektrik.

Khairul berkata, niat beliau untuk menyambungkan pengajian ke INPENS sudah lama diidamkan.

“Saya sudah lama hendak sambung belajar di INPENS, walaupun kaki saya belum pulih tetapi saya sudah tidak sabar untuk mempelajari ilmu baru.

Saya tidak mahu ketinggalan, patah kaki bukan alasan tidak mahu belajar.” katanya.

=EZY=