Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Jangkaan tambah kategori, Cub Prix makin menarik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JAN: Saingan perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dijangka semakin menarik dengan kemungkinan tambahan kepada tujuh kategori dalam kalendar musim ini.

Promoter perlumbaan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd, dalam kenyataan pengumuman jadual bagi 10 pusingan musim ke-24 yang bermula pada awal Mac dan berakhir pada November ini, menyatakan perkara itu bagi menarik lebih penyertaan dalam kalangan pelumba muda.

Ketika ini siri kejuaraan motosikal kebangsaan itu mempunyai format enam kategori perlumbaan iaitu tiga kelas terbuka, satu perlumbaan separa amatur dan dua kategori satu pengeluar sepanjang tiga musim lalu.

fazli-46-dan-fazrul-11-pelumba-adik-beradik-dari-taiping-mempengaruhi-peminat-cub-prix-yang-ramai-di-taipingPertimbangan dibuat bagi menambah satu lagi kategori perlumbaan iaitu kelas ‘rookie’ dalam musim ini supaya dapat membuka lebih ruang kepada pelumba muda berada di atas grid perlumbaan.

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhs, Ron Hogg, berkata pada tahun lalu pihaknya memanjangkan tempoh permohonan untuk perlumbaan kategori satu pengeluar memandangkan sambutan cukup menggalakkan dan telah menerima hampir seribu permohonan dari golongan remaja yang berminat untuk menjadi pelumba.

“Namun, hanya sebahagian kecil daripada mereka berpeluang untuk menyertai perlumbaan peringkat pembangunan dikendalikan pihak pengeluar Honda dan Yamaha ini.

“Kita akui terdapat permintaan dan keperluan bagi membolehkan lebih banyak pelumba muda dapat menceburi bidang sukan permotoran ini,” katanya.

Kalendar 10 Pusingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017:

Pusingan 1 – Temerloh, Pahang (4 & 5 Mac)

Pusingan 2 – MAEPS, Selangor (25 & 26 Mac)

Pusingan 3 – Kelantan (14 & 15 April) (Perlumbaan Sabtu)

Pusingan 4 – Melaka (13 & 14 Mei)

Pusingan 5 – Johor (15 & 16 Julai)

Pusingan 6 – Teluk Intan, Perak (4 & 5 Ogos)

Pusingan 7 – Kemaman, Terengganu (8 & 9 September) (Perlumbaan Sabtu)

Pusingan 8 – Kangar, Perlis (7 & 8 Oktober)

Pusingan 9 – Jempol, Negeri Sembilan (4 & 5 November)

Pusingan 10 – Batu Kawan, Pulau Pinang (18 & 19 November)

-NFN-