Categories
SELANGOR

JMB gagal beri kerjasama, kesal penduduk abai kebersihan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 JAN : Tindakan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Seri Nipah yang terus menyalahkan Kerajaan Negeri membabitkan isu kekotoran di pangsapuri berkenaan dikesali.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, walaupun kerja pembersihan dijalankan pihaknya bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), namun JMB didakwa gagal memberikan kerjasama berhubung komitmen bersama Kerajaan Negeri itu.

Lebih mengecewakan katanya JMB tidak bersama-sama untuk turun padang ketika pembersihan kawasan dibuat.

“Isu sampah ini berpunca daripada sikap penghuni dan kegagalan JMB menyelesaikan isu yang wujud sekian lama walaupun telah ditegur beberapa kali.

rodziah“JMB pula tidak turut hadir semasa lawatan saya di pangsapuri berkenaan, malah pejabat mereka juga ditutup

“Perbincangan untuk mencari penyelesaian terhadap perkara ini juga dibuat dalam mesyuarat yang diadakan di MPSJ 29 Disember lalu, tapi malangnya JMB sekali lagi tidak hadir,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media pro-umno yang mendakwa pejabat DUN Batu Tiga, pihak berkuasa tempatan (PBT) MPSJ tidak mengambil perhatian berhubung isu tersebut walaupun aduan sudah dibuat.

Membidas dakwaan tersebut, Rodziah berkata, isu pembersihan kawasan pangsapuri tertakluk di bawah bidang kuasa JMB dan bukannya dikawal selia pengurusan PBT.

“Ia di bawah bidang kuasa JMB yang sepatutnya mengambil perhatian serius dan bukannya menunding jari kepada pihak lain.

“Namun sejak isu sampah ini ditimbulkan, saya bersama pelbagai agensi termasuklah MPSJ turun padang meninjau dan menggerakan kerja pembersihan kawasan membantu persekitaran penduduk.

“Namun keadaan sama masih berlaku sekiranya JMB dan penduduk tidak memandang serius isu kebersihan ini dan bertanggungjawab membersihkan kawasan pangsapuri,” katanya.

=EZY=