Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN sedia main peranan kukuh gabungan parti hadapi BN

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JAN: KEADILAN sedia memainkan peranan memperkukuh gabungan politik parti progresif bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) yang nazak.

Timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, proses rundingan dan perbincangan perlu dilakukan demi rakyat yang amat mendambakan kepimpinan negara lebih wibawa, berintegriti dan dihormati.

“Dalam konteks ini, KEADILAN menyambut baik kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan semua termasuk PAS demi menumbangkan BN.

azmin-parlimen“Ia adalah langkah positif menuju ke arah penyatuan parti politik dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Ini pastinya menuntut kebijaksanaan dan pendekatan inklusif dengan mengenepikan perbezaan pendekatan juga politik kepartian demi matlamat menyeluruh yang lebih penting iaitu menyelamatkan negara serta bangsa daripada belenggu pemimpin rasuah termasuk kerajaan kleptokrat,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Kit Siang menyatakan kesediaan DAP bergabung semula dengan PAS jika Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia memberi komitmen menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

Beberapa pimpinan tertinggi PAS bagaimanapun memberi respon kurang senang dengan salam rujuk Kit Siang itu.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, beliau amat memahami dan menghormati tumpuan diberikan pimpinan tertinggi PAS menjelang muktamar 2017 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Kami yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan PAS. Anggota PAS juga mahukan kerajaan bersih dan mereka komited kepada prinsip keadilan serta pembanterasan rasuah demi menyelamatkan negara untuk generasi masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KEADILAN masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan parti lain demi membuka tirai Malaysia Baru.

“Program bersama terus berjalan baik terutama di peringkat Selangor dan di akar umbi demi membela nasib semua rakyat,” katanya.

-NFN-