Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN: Shahrir Samad perlu langkah drastik kembalikan peranan FELDA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JAN: Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad perlu mengambil langkah drastik untuk membetulkan keadaan selari dengan misi beliau untuk mengembalikan peranan asal FELDA.

Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, beliau juga perlu menyahut saranan untuk mengumumkan pembentangan kertas putih berkenaan prestasi kewangan dan masa depan FELDA di persidangan Parlimen akan datang, pada Mac ini.

Katanya, mantan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad seharusnya bertanggungjawab di atas kegagalan isu yang dibangkitkan ketika ini.

“Apa perasaan peneroka apabila mereka mengetahui dakwaan penyelewengan, kerugian, ketirisan dan amalan boros yang bernilai ratusan juta ringgit ini?

Syed Ibrahim Syed Noh“Bukankah peranan FELDA untuk membasmi kemiskinan, menyediakan kemudahan yang mencukupi dan moden, memastikan generasi peneroka seterusnya berpendidikan tinggi juga meningkatkan sosio ekonomi serta kualiti hidup mereka?,” soalnya dalam kenyataan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima pegawai kanan FELDA termasuk seorang bergelar ‘datuk’ kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta, sejak 2014.

Katanya, siasatan terbabit wajar terutama dalam keadaan gejala rasuah masih bermaharajalela hingga menjejaskan prestasi ekonomi dan wibawa negara.

“Tambah wajar, tatakelola dan pengurusan yang lemah juga mengakibatkan kerugian besar. Justeru, ia turut menafikan peluang memanfaat dana kepada mereka yang berhak seperti peneroka,” katanya.

Syed Ibrahim khuatir budaya rasuah dan mementingkan tembolok sendiri itu akan terus berlaku kerana pegawai berani bertindak demikian berasaskan contoh kepimpinan atasan termasuk kepimpinan parti pemerintah serta orang politik di dalam FELDA yang tidak telus.

Semalam, Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, sebuah anak syarikat milik penuh FELDA iaitu Felda Wellness Corporation rugi RM155 juta, berhutang RM154 juta dan mengguna wang rakyat untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

Pada 13 Januari lalu, Rafizi menimbulkan beberapa soalan berkenaan perjanjian pendanaan swasta (PFI) membabitkan lebih RM1 bilion untuk membiayai pembinaan perumahan FELDA.

Pada Mei 2016, Rafizi turut mendedahkan bagaimana Felda Global Ventures (FGV) membeli dua kondominium dengan nilai hampir RM9 juta untuk pengurusan kanan FELDA tetapi tidak menjana hasil kepada FGV sebaliknya memakan kos penyelenggaraan setiap tahun.

-NFN-