Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan potong peruntukan, rakyat habiskan 55% gaji biayai pengajian

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 19 JAN: Expert Market iaitu laman sesawang yang membuat perbandingan yuran pengajian antara negara dengan mengumpulkan data ‘Quacquarelli Symonds Top Universities’ bagi tahun pengajian 2014 dan 2015 dan laporan ‘Gallup Median Self-Reported Income’ pada 2013 mendapati rakyat Malaysia menghabiskan 55 peratus gaji untuk membiayai yuran pengajian.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kajian itu mendapati perbelanjaan 55 peratus dibuat bagi membiayai yuran purata sebanyak 18,000 dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran kesan pemotongan peruntukan untuk pendidikan.

“Walaupun yuran ini boleh dianggap rendah dengan beberapa negara lain tetapi jika dibandingkan dengan gaji, tahapnya adalah 55 peratus daripada gaji dihabiskan untuk membayar yurang pengajian di Malaysia berbanding yang paling tinggi Chile iaitu 73 peratus.

nik-nazmi“Manakala, AS adalah 53 peratus sedikit rendah dari Malaysia, United Kingdom (42%), Singapura (32%) dan 18 peratus untuk Jepun,” katanya pada Forum Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN di Rumah Gerakbudaya, di sini, semalam.

Katanya, tanggungan rakyat untuk membiayai pendidikan untuk diri-sendiri dan keluarga juga semakin bertambah apabila kerajaan mula memotong peruntukan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sejak beberapa tahun.

Kesan pemotongan peruntukan itu akan menyebabkan IPTA terpaksa menaikkan yuran pengajian di kampus masing-masing.

Selain itu, langkah pemotongan itu juga menyebabkan ramai pelajar yang layak gagal memasuki IPTA apabila institusi itu terpaksa menghadkan pengambilan masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Affendy Hasni berkata, IPTA juga mencari dana tambahan melalui sumber lain selain menaikkan yuran.

“Selain menaikkan yuran, IPTA juga akan ‘gagau’ apa sahaja sumber yang ada misalnya mengenakan caj menggunakan dewan dan menaikkan denda lalu lintas,” katanya.

Katanya, langkah seperti menaikkan caj penggunaan dewan misalnya mampu memperlahankan aktiviti ilmuan yang dirancang mahasiswa.

-NFN-