Categories
PBT SELANGOR

Lesen pemeliharaan anjing dikuatkuasa bermula 26 Januari

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 25 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan program perlesenan anjing untuk pemilik premis yang memelihara haiwan itu di kediaman mereka bermula 26 Januari ini.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tindakan itu dibuat bagi mengawal populasi anjing terbiat dalam kawasan Klang.

“Usaha ini untuk memastikan setiap anjing peliharaan di kawasan MPK dilesenkan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK BIL.1/2017 di Hotel Aliya.

Menurutnya, pemilik dikenakan bayaran lesen RM10 untuk seekor anjing dan boleh diperbaharui setiap tahun.

Setakat ini MPK sudah mengeluarkan 900 lesen pemeliharaan anjing kepada pemilik premis kediaman dan pertanian.

Hanya dua ekor anjing sahaja dibenarkan untuk dipelihara bagi setiap rumah teres atau banglo.

Bagi kawasan kilang, mereka dibenarkan untuk memelihara lebih dua ekor anjing sementara kawasan kebun pula dikira mengikut keluasan bagi tujuan keselamatan.

=EZY=