Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Lapan unit pam sedut air banjir Sabak Bernam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 26 JAN: Kaedah menyedut air banjir menggunakan pam berskala besar dilaksanakan bagi mengurangkan takungan air di kawasan terbabit banjir di Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, lapan unit pam air digunakan bagi tujuan itu.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menggunakan lapan unit pam yang beroperasi bagi tujuan menyedut air takungan banjir di kawasan dinaiki air.

“Kami menjangkakan kerja ini akan selesai selewat-lewatnya Sabtu ini (28 Januari). Sekiranya cuaca bertambah baik, penduduk yang terjejas boleh pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

IMG_20170125_142222_983Mohamed Azmin berkata, sehingga kini semua agensi di bawah seliaan Kerajaan Negeri dengan usahasama pihak berkuasa tempatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis masih berada di lokasi berisiko banjir.

Beliau berkata, persediaan rapi turut dibuat terhadap sebarang kemungkinan sekiranya berlaku kenaikan limpahan paras air sungai dan laut seluruh negeri.

“Saya menghargai komitmen ATM, PDRM dan Jabatan Kebajikan yang memberikan kerjasama baik bersama unit bencana negeri juga pejabat daerah serta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang menguruskan kebajikan mangsa banjir,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Mangsa Banjir di Dewan Parit Baru, di sini, semalam.

Sementara itu, sehingga jam 5.00 petang semalam, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan di daerah Sabak Bernam berkurangan kepada 357 berbanding 407, pagi semalam.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, 158 dari 45 keluarga masih ditempatkan di Dewan Sri Bernam, manakala 167 mangsa dari 50 keluarga berada di Dewan Parit Baru.

Jumlah mangsa di Dewan Sri Nakhoda menunjukkan penurunan iaitu hanya 32 mangsa dari lapan keluarga berbanding 83 orang dari sembilan keluarga, pagi semalam.

-NFN-