Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tanah milik rakyat bukan pemimpin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 14 JAN: Rakyat di Selangor berhak mendapat hak milik tanah yang mereka usahakan bukannya golongan pemimpin seperti yang banyak berlaku sebelum Kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran di negeri itu, pada 2008.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, malahan rakyat di Selangor hari ini juga tidak perlu menjelaskan bayaran penuh premium yang tinggi tetapi hanya dikenakan bayaran premium RM1,000 sahaja sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri.

MB Notis 5A (2)“Agenda utama kita adalah memberikan kelulusan hak milik tanah kepada rakyat di pelbagai daerah dan kawasan khususnya yang telah menduduki juga mengusahakan tanah kerajaan sebelum 2008 kerana dasar Kerajaan Negeri hari ini ialah tanah milik rakyat bukan milik pemimpin. Kita akan beri tanah ini kepada rakyat.

“Kita mahu mereka yang benar-benar mengusahakan tanah itu berhak mendapatkannya terutama bagi tujuan kediaman memandangkan hartanah di Selangor semakin hari semakin mahal, ramai yang tidak mampu membeli tanah dengan harga premium yang mahal,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Notis 5A kepada tiga penduduk Kampung Seri Indah B, Sungai Buloh dan sembilan lagi peduduk yang mengusahakan tanah kediaman masing-masing di Taman Daya, Selayang, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkaya, penduduk yang menerima Notis 5A diberikan pilihan sama ada menjelaskan bayaran premium penuh dengan potongan 30 peratus atau membayar premium RM1,000 sahaja.

Katanya, pemilik tanah terbabit dikenakan syarat perlu menjelaskan bayaran penuh premium sekiranya berhasrat menjualkan tanah itu kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menasihatkan supaya pemilik tanah tidak menjualkan tanah masing-masing untuk diwarisi generasi mereka pada masa akan datang.

Majlis penyerahan Notis 5A itu turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib; ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

-NFN-