Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

19 penduduk setinggan di Gombak dapat tawaran milikan tanah

GOMBAK, 2 OKT: Seramai 19 penduduk setinggan sekitar daerah ini menerima tawaran milikan tanah sebagai gantian bagi membolehkan proses pembangunan dibuat.

Serahan Notis 5A oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena program turun padangnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di sini hari ini.

Amirudin berkata tawaran membabitkan 10 penduduk Kampung Sungai Tua manakala baki dari Kampung Bendahara yang diberikan tanah gantian di Kuang dan Batu Arang.

“Hari ini kita bantu selesaikan pemilikan setinggan penduduk Sungai Tua. Mereka tinggal di tebing sungai jadi kerap dilanda banjir.

“Untuk penduduk Kampung Bendahara pula, tanah mereka akan diambil alih untuk pembangunan semula oleh Kerajaan Negeri atau bergantung kepada pelan pembangunan selepas ini,” katanya.

Dalam majlis itu, Amirudin turut menyerahkan sumbangan kepada lebih 20 pelajar di DUN tersebut yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu.

“Pelajar yang mendapat 9A diberikan komputer riba dan wang tunai manakala keputusan 7A serta 8A diberikan wang tunai,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesara lega dapat tawaran milikan tanah sebelum pejam mata

RAWANG, 20 MAC: Penantian selama 40 tahun seorang pesara polis untuk mendapat hak milik tanah hampir tercapai selepas menerima tawaran Kerajaan Negeri.

Mohd Mazlan Adam, 68, antara 105 penduduk Kampung Melayu Seri Kundang yang menerima surat Notis 5A, meneroka tanah berkenaan pada 1981 dan memohon pemilikan selepas beberapa tahun.

Mohd Mazlan Adam

“Memang agak lama tunggu surat tawaran tetapi saya berkeyakinan penuh terhadap Kerajaan Negeri. Sekarang saya amat lega kerana dapat tawaran sebelum meninggalkan dunia ini selama-lamanya.

“Malah, saya gembira kerana anak-anak tidak akan kelam-kabut menyelesaikan masalah ini jika saya sudah tiada,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi penerima, Rabonah Mat, 62, sebak mengenangkan kegigihan arwah suaminya mendapatkan hak milik tanah tersebut puluhan tahun lalu.

“Bila dapat surat daripada Dato’ Menteri Besar, saya terbayang-bayang kegigihan suami yang betul-betul mahu tanah didiami ini sah di sisi undang-undang.

Rabonah Mat

“Berkali-kali arwah ingatkan supaya jaga harta ini. Saya sebak kerana dia tidak dapat lihat kejayaan ini tetapi pada masa sama sangat gembira,” kata balu kepada enam orang anak itu.

Perasaan gembira turut dikongsi warga emas berusia 75 tahun, Melor Embon yang tidak menyangka namanya tersenarai sebagai penerima tawaran hak milik tanah pada tahun ini.

“Makcik tidak sangka hingga tidak boleh tidur malam. Memang agak lama tunggu, dari sihat hingga berkerusi roda tetapi tetap berterima kasih kepada yang membantu,” katanya.

Tawaran kepada penduduk Kampung Melayu Seri Kundang diluluskan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak meliputi keluasan antara 196 hingga 849 meter persegi.

Serahan Notis 5A oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari adalah kali ketiga selepas tahun 1999 dan 2010 membabitkan lebih 300 penduduk.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Giat serah hak milik tanah, tumpu empat daerah tahun ini

RAWANG, 20 MAC: Kerajaan Selangor menumpukan usaha memberi milikan tanah kepada penduduk sekitar Gombak, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Kuala Langat pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha lebih sedekad lalu bagi membolehkan warga tempatan memiliki tanah dan rumah untuk diwariskan kepada keluarga.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari meminta penduduk bersabar berikutan proses serahan hak milik agak rumit dan memerlukan tempoh yang panjang.

“Sejak 2008 kita berusaha memberikan penduduk tawaran milikan tanah. Walapun ia aset yang bernilai tinggi, namun itu bukan alasan mereka tidak dapat tanah sendiri,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Kampung Melayu Seri Kundang di sini hari ini.

Seramai 105 penduduk di kawasan berkenaan menerima Notis 5A dengan keluasan antara 196 hingga 849 meter persegi yang diluluskan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Tawaran sama pernah dibuat pada 1999 dan 2010 membabitkan lebih 300 penduduk.

Tawaran Notis 5A ialah pemberitahuan bahawa tanah terbabit diluluskan kerajaan untuk menjadi hak milik dengan menjelaskan bayaran premium ditetapkan.

Sehingga Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan hampir 100,000 isu pemilikan tanah yang tertunggak sejak 2008.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

105 penduduk Kampung Melayu Seri Kundang terima tawaran milikan tanah

RAWANG, 20 MAC: Seramai 105 penduduk Kampung Melayu Seri Kundang menerima tawaran Notis 5A daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Tawaran itu ialah pemberitahuan bahawa tanah terbabit diluluskan kerajaan untuk menjadi hak milik dengan menjelaskan bayaran premium ditetapkan.

Ia diluluskan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dengan membabitkan keluasan setiap satu dari 196 hingga 849 meter persegi.

Majlis penyerahan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Kampung Melayu Seri Kundang pagi tadi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Hadir sama Pegawai Daerah Dan Tanah Gombak, Shukri Mohamad Hamin; Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Sallehudin Amiruddin dan ADN Rawang, Chua Wei Kiat.

Pemberian hak milik tanah itu adalah kali ketiga selepas tahun 1999 dan 2010 dengan membabitkan lebih 300 penduduk.

Categories
EXCO SELANGOR

Notis 5A: Impian 123 penduduk terlaksana selepas 50 tahun

SEKINCHAN, 20 SEPT: Impian 123 penduduk Bagan untuk memiliki hak milik tanah sejak 50 tahun lalu akhirnya terlaksana apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Negeri, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pemberian itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap semua kaum di negeri ini.

Katanya, pemberimilikan itu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bermula tujuh tahun lalu.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat khususnya membabitkan isu tanah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Banyak masalah boleh diselesaikan tetapi tiada tindakan penyelesaian, oleh itu Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil inisiatif membantu selesaikan isu rakyat di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) Bagan Sekinchan di Gelanggang Bola Keranjang MPKK, Bagan Sekinchan, di sini.

Ng Sze Han (tengah) bersama Ng Sue Lim (enam, kanan) bersama penerima Notis 5A ketika Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) di Bagan Sekinchan pada 20 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Notis 5A itu diserahkan oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Suee Lim berkata, pemberian fasa kedua itu menyelesaikan 95 peratus isu pemilikan tanah di daerah itu.

“Tanah yang diberikan adalah rizab Melayu, oleh itu kita gantikannya dengan tanah yang lain di Sungai Panjang berkeluasan kira-kira tiga hektar.

“Ini cara PAKATAN membantu rakyat. Kita maju bersama tanpa meminggirkan mana-mana pihak di samping hak milik kaum Melayu terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Hing Ger Heng, 43 dan adiknya, Hing Gek Yoke, 41 menzahirkan rasa terujanya atas bantuan Kerajaan Negeri itu.

“Kami sangat gembira kerana akhirnya diberikan hak milik tanah. Sudah pasti ibu kami yang berusia 70 tahun juga gembira.

“Inilah kampung kami, kami dilahirkan dan membesar di sini bersama keluarga yang lain, penantian kami selama ini tercapai,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penantian 22 tahun berakhir, 72 pemohon terima Notis 5A

RAWANG, 14 SEPT: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 72 pemohon lot industri di Taman Greatyear Capital, Bandar Rawang Tambahan, di sini, apabila Kerajaan Negeri ‘menghadiahkan’ Notis 5A kepada mereka selepas penantian lebih dua dekad.

Lebih bermakna, geran tanah berkenaan diserahkan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Batu 17, hari ini.

Penyerahan notis borang 5A kepada penerima oleh Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari ketika Majlis Penyampaian Notis Borang 5A Di Taman Greatyear Capital Bandar Rawang Tambahan Daerah Gombak di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Selayang pada 14 September 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata, usaha murni Kerajaan Negeri dalam memuktamadkan isu yang sekian lama terbantut itu bagi memastikan hak semua pemilik di kawasan terbabit tidak diabaikan.

“Kita dapat selesaikan isu ini dalam masa dua tahun dan kita juga akan melihat beberapa isu secara mendalam berkenaan harga premium tanah.

“Kesemua pemohon diberi tempoh enam bulan untuk menyelesaikan proses pemilikan secara individu sebelum memiliki tanah berkenaan yang sebelum ini diletakkan atas sebuah nama syarikat.

“Sebelum ini, gred (syarikat) tidak melaksanakan proses pecah bahagian dan pemohon sudah membuat pembayaran premium, cuma mereka tidak membuat urusan seterusnya,” katanya ketika ditemui Media Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat serta Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Difahamkan, sebelum ini Taman Greatyear Capital adalah sebidang tanah blok berkeluasan 9.726 hektar dan Kerajaan Negeri memberi hak milik kepada sebuah syarikat iaitu Greatyear Capital Sdn Bhd.

Ia kemudiannya didaftarkan pada 22 September 1995 dengan kategori tanah ditetapkan sebagai perusahaan membabitkan cukai tahunan bernilai RM106,208.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk membatalkan hak milik tanah terbabit menerusi notis pengembalian tanah kepada kerajaan (Notis 8A) ekoran kegagalan pemilik dalam menyelesaikan tunggakan cukai, pada 27 Oktober 2016.

“Bagaimanapun, usaha berterusan dalam membela nasib pemilik lot industri ini terus giat dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pemilik saban tahun.

“Pada 2017, kita mula mengorak langkah awal dengan menerima dan memproses permohonan secara individu oleh seramai 105 pemohon (pembeli asal) di Taman Greatyear Capital,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pemilik lot tanah diingatkan supaya menjelaskan bayaran premium mengikut tempoh ditetapkan dalam Notis 5A selain melunaskan cukai tanah gang dikenakan.

“Hasil daripada cukai tanah ini akan digunakan semula Kerajaan Negeri untuk membangunkan kemudahan infrastruktur dan sosial di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan terima Notis 5A

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 26 JAN: Penantian hampir tiga dekad 118 penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan untuk menjadi pemilik tanah menjadi kenyataan apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Selangor, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian itu membuktikan Kerajaan Negeri sekali lagi berjaya menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat Selangor.

Katanya, ia ekoran sebelum 2008, Kerajaan Negeri mendapati terlalu banyak tanah yang diduduki penduduk tidak mempunyai hak milik sah sehingga menyebabkan tiada pelan tersusun.

“Bermula pada 2008, Kerajaan Selangor berusaha membantu penduduk untuk mendapatkan hak milik tanah dan memberikan lot tanah kepada mereka, namun pada waktu itu bayaran premium dianggap terlalu tinggi kerana ada penduduk tidak mampu.

“Kerajaan Negeri sekali lagi membuat tawaran dengan meminta penduduk membuat bayaran RM1,000 termasuk caruman parit dan infrastruktur, sekali gus membolehkan tanah itu menjadi hak milik mereka.

“Walaupun ia mengambil masa agak lama, namun cita-cita Kerajaan Negeri yang mahu memastikan semua rakyat mendapat tempat selesa dan baik sudahpun tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, di sini.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Amirudin berkata, pemberian hak milik terbabit adalah antara aset bernilai ekoran harga tanah berbeza saban tahun.

Katanya, di sebalik harga tanah di Selangor meningkat dan tinggi, Kerajaan Negeri tetap meneruskan pemberian berkenaan walaupun jumlah premium agak besar.

“Pembangunan kemajuan bukanlah yang kita mahu kecapi semata-mata tetapi Kerajaan Negeri mahu memastikan rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya.

“Kita mampu melaksanakan program sebegini kerana Selangor mempunyai kepimpinan berintegriti,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penantian terlerai, penduduk Kampung Sungai Serai terima Notis 5A

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BULOH, 23 JAN: Penantian hampir 30 tahun 45 penduduk Kampung Sungai Serai akhirnya terlerai apabila memperoleh surat tawaran pemilikan tanah (Notis 5A) yang disampaikan sendiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Berlangsung di Dataran Setia Kundang beliau berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menyediakan inisiatif terbaik bagi memudahkan rakyat memiliki aset sendiri dan diharapkan ia tidak dijual demi sedikit keuntungan.

“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri berusaha secara berterusan untuk membantu rakyat Selangor memperoleh hak milik tanah selari dengan konsep ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’ yang saya wacanakan semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2019.

“Adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri membantu dan membela rakyat memperoleh milikan tanah untuk kediaman yang telah lama diduduki tetapi tidak mempunyai sebarang pegangan hak milik,” katanya.

Amirudin berkata, usaha pembelian milikan ini akan diteruskan tetapi mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan kerja lapangan selain menyemak semula senarai kerana terdapat pemohon lama yang sudah meninggal dunia tetapi usaha itu diteruskan waris terdekat.

Beliau berkata, dengan pemberian milikan ini akan memudahkan penerima merancang kehidupan masa hadapan tambahan premium nominal yang dikenakan hanya RM1,000 dengan syarat ia tidak boleh dijual kepada pihak lain.

Turut hadir Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Salehuddin Amirudin, ADN Rawang, Chua Wei Kiay serta Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir kilat serta Jom Shopping sempena sambutan Tahun Baru Cina.

 

Categories
SELANGOR

Lulus permohonan geran, elak rakyat terbeban

KUALA LANGAT, 20 APR: Kerajaan Negeri optimis dalam memberi keutamaan terhadap permohonan geran hak milik tanah oleh penduduk Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak mahu penduduk terbeban dengan kadar premium yang tinggi.

Katanya, terdapat ramai peneroka masih belum mampu membayar premium tanah walaupun Notis 5A dikeluarkan.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menurunkan kadar premium kepada RM1 kaki persegi.

“Kita memahami kesusahan rakyat. Tanah ini hak rakyat, justeru pemilik perlu mengambil berat dan menjaga hak mereka sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat, di sini, harini.

Dalam program itu, seramai 31 keluarga menerima geran milikan tanah selepas menanti lebih 12 tahun.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengingatkan penerima geran supaya menjaga dan mempertahankan aset masing-masing untuk diwarisi generasi akan datang.

Katanya, penyerahan geran kepada pemohon di kampung itu diluluskan berlandaskan agenda Kerajaan Negeri yang peduli rakyat dan sentiasa mendengar serta melihat keperluan rakyat dalam mendepani cabaran masa kini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Notis 5A rungkai penantian 24 tahun peneroka Felda Hulu Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 13 APR: Penantian lebih 24 tahun buat lebih 500 peneroka di Hulu Selangor yang berdepan masalah pemilikan tanah akhirnya terungkai apabila Kerajaan Negeri menyerahkan Notis 5A, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menjaga amanah diberikan rakyat dan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sepanjang tempoh menjadi Dato’ Menteri Besar, saya menerima maklum balas terdapat banyak masalah pemilikan tanah yang masih belum diselesaikan.

“Sebagai kerajaan peduli rakyat, saya tuntas bagi menyelesaikam masalah dihadapi ini,” katanya di Majlis Penyerahan Notis 5A untuk daerah Hulu Selangor di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, di sini.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin menyerahkan Notis 5A kepada sebahagian daripada 590 penerima dalam majlis berkenaan.

Ia membabitkan 206 penerima dari Mukim Sungai Tinggi, Hulu Bernam (21) dan Serendah (363).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Khalid Jaafar.

Beliau berkata, masalah berlarutan sehingga lebih dua dekat itu tidak seharusnya berlaku jika Kerajaan Negeri sebelumnya mengutamakan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri hari ini melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sentiasa menekakan perkara seperti itu untuk diatasi segera.

“Sekiranya masalah diselesaikan segera, peneroka tanah pertanian Felda di sini tentunya tidak akan menunggu selama ini bagi memilikinya.

“Dengan pemilikan tanah ini, Kerajaan Negeri juga mengecualikan pembayaran premium dengan nilai semasa kepada semua peneroka,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran ditetapkan adalah RM400 bagi sehektar tanah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Premium tanah, diskaun terhebat Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 6 OKT: Formula kadar premium terendah bagi penerima Notis 5A hanya boleh diperolehi di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, setiap penerima hanya perlu menjelaskan kadar premium nominal RM1,000 berbanding nilai premium semasa yang mampu mencecah hingga ratusan ribu ringgit bagi tanah pertanian.

Katanya, penerima bagaimanapun dikenakan syarat untuk tidak menjual kepada pihak ketiga dan memastikan tanah terjaga rapi sama ada bagi tujuan kediaman mahupun pertanian.

AZMIN ALI (1)“Sebagai contoh, nilai premium semasa bagi tanah di sini yang berstatus rezab Melayu adalah RM68,000 bagi 1,000 meter persegi, sementara tanah pertanian pula sehingga RM80,000 seekar.

“Namun kita sedar ia tinggi buat rakyat, maka Kerajaan Negeri tetapkan setiap permohonan hanya perlu membayar premium RM1,000.

“Ini adalah diskaun terbesar, mana nak dapat tawaran sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Notis 5A dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), di Dewan Kampung Hala Cara Baru, di sini, hari ini.

Majlis menyaksikan seramai 48 penduduk Kampung Hala Cara Baru dan empat penduduk Kampung Belia 2 ditawarkan Notis 5A selepas penantian puluhan tahun.

Mohamed Azmin berkata, nilai premium semasa bagi tanah di kawasan berkenaan adalah RM68 semeter persegi dan sehingga RM80,000 bagi seekar untuk tanah pertanian.

“Namun Kanun Tanah Negeri Selangor tetapkan pada kadar RM8.42 bagi semeter persegi dan RM200 sahaja seekar untuk pertanian.

“Walaupun sudah rendah, kita tawarkan kadar nominal agar rakyat tidak terbeban,” katanya.

Majlis turut menyaksikan 78 peserta Hijrah menerima skim pinjaman mikro kredit itu dengan jumlah keseluruhan RM592,000.

Sumbangan IPR lain termasuk bantuan Food Stamp dan Bantuan Rumah Prihatin.

Categories
SELANGOR

Premium nominal buat peneroka pertanian Kampung Sungai Samak

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 8 SEPT: Penantian hampir 20 tahun peneroka tanah pertanian, Kampung Sungai Samak berakhir hari ini apabila Kerajaan Negeri bersetuju memberikan kelulusan pemberimilikan tanah (Notis 5A).

Berita gembira itu diumumkan sendiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) di Balai Penghulu Sungai Samak, di sini.

Lebih menggembirakan, Kerajaan Negeri hanya mengenakan bayaran premium nominal berjumlah RM505 untuk tanah berkeluasan 0.6 hektar.

IMG_7249“Dalam konteks Sungai Samak, premium harga tanah berdasarkan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), satu hektar bernilai RM570,000.

“Kita perkenalkan premium nominal kepada peneroka berkeluasan 0.6 hektar yang hanya perlu membayar premium RM505 walaupun harga semasa RM379,000,” katanya.

Seramai 23 penerima Notis 5A terdiri daripada peneroka asal dan waris peneroka hari ini mempunyai keluasan tanah pertanian keseluruhan sekitar 0.4 hingga 0.6 hektar.

Menurutnya, nilai hartanah semasa di Selangor semakin meningkat selari dengan kerancakkan pembangunan setempat.

Beliau berkata, peneroka yang menerima Notis 5A diingatkan supaya tidak menjual tanah mereka sebaliknya terus memajukan tanah berkenaan mengikut peraturan ditetapkan.

Secara keseluruhan, hampir 1,600 permohonan diluluskan sejak tiga tahun menjadi Mohamed Azmin memikul tanggungjawab selaku Dato’ Menteri Besar.