Categories
SELANGOR

MBPJ alu-alukan sumbangan untuk PJ City Food Bank

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengalu-alukan syarikat, pengusaha makanan, pasar raya dan hotel untuk menyumbang makanan bagi menjayakan PJ City Food Bank yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu.

MBPJ dalam kenyataan berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada penerima terdiri dari rumah orang tua, kebajikan, anak yatim dan orang kurang upaya di sekitar kawasan pentadbirannya.

“PJ City Food Bank adalah salah satu inisiatif di bawah Program Local Agenda 21 Petaling Jaya, justeru kita juga menjemput semua termasuk sukarelawan untuk bersama membantu menjayakannya,” katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, program itu bakal diperluaskan kepada pelajar sekolah terutama di kawasan majoriti penduduk berpendapatan rendah.

Sejak pelaksanaannya, PJ City Food Bank berjaya menyumbang makanan dan minuman seberat 49.71 tan kepada 1,733 penghuni di 64 rumah kebajikan seluruh Petaling Jaya.

pj-foodSebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Mampan, Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ di talian 03-79563544 sambungan 370 dan 374.

Pada 23 Jun 2016, MBPJ menandatangani perjanjian kerjasama dengan Bank Rakyat untuk memberi tajaan juga sumbangan di bawah program terbabit.

MBPJ adalah PBT pertama di Malaysia yang melaksanakan projek itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan sejak 2012.

-AA-