Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KSU terbabit kes rasuah direman seminggu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Ketua setiausaha (KSU) kementerian bersama anak lelakinya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman seminggu selepas memperoleh perintah mahkamah, hari ini.

Reman itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Majistret Mahkamah Putrajaya, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek bergelar ‘Datuk’ berusia 59 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 11 Januari.

Kedua-dua anak lelaki suspek berusia 34 dan 29 tahun.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

ksuSemalam, negara sekali lagi dikejutkan dengan penahanan KSU terbabit kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa di kediamannya di USJ, Subang Jaya.

‘Datuk’ berkenaan ditahan bersama anak lelakinya, pada jam 8 pagi dan dibawa ke Putrajaya untuk disiasat.

Anaknya dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Dalam operasi selama 12 jam itu, SPRM turut merampas 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama selain wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM3juta.

Suspek didakwa ke luar negara, baru-baru ini untuk bermain golf dan SPRM sedang menyiasat perkara itu termasuk berkaitan perjalanan dan perbelanjaan suspek dibiayai individu tertentu.

-AA-