Categories
PBT SELANGOR

Noraini fokus isu pemeliharaan alam sekitar

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 25 JAN: Bakal menerajui Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Noraini Roslan berhasrat menubuhkan rakan pelancongan lebih kukuh bagi menjayakan program pendidikan alam sekitar di daerah berkenaan.

Beliau yang kini menyandang jawatan Yang Di Pertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata, Hulu Selangor masih kaya dengan khazanah alam sekitar yang sewajarnya dikekal dan dipelihara.

Katanya, usaha pendidikan itu semestinya memerlukan masa namun beliau komited ia mampu dijayakan dengan kerjasama semua pihak.

“Dari segi kewangan, MDHS lebih kukuh maka saya boleh fokus kepada projek pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

MDKS Noraini“Saya mahu wujudkan kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara kawasan hutan yang dibenarkan aktiviti rekreasi seperti di hulu sungai dan air terjun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditanya hala tujunya apabila memegang tampuk MDHS yang bakal disandang bermula 1 Februari nanti.

Lima tahun di MDKS, Noraini antara lain mengilhamkan Pusat Sumber Taman Alam yang menawarkan pusat rujukan seperti buku, majalah dan jurnal ilmiah mengenai tanah lembap.

“Saya sentiasa mempunyai minat tinggi terhadap alam sekitar dan Hulu Selangor menawarkan saya peluang lebih besar untuk direalisasikan.

“Hasrat terbesar, saya mahu pengunjung taman rekreasi mempunyai kesedaran untuk tidak meninggalkan sampah dan sama-sama memastikan alam sekitar bersih terpelihara,” katanya.

Noraini mula berkhidmat di MDKS pada 1 Julai 2011 dan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Januari ini.

=EZY=