Categories
NASIONAL

Penganalisis politik: PPBM sedia bongkar salah laku Kerajaan Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Pelancaran rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Sabtu lalu mengambarkan komitmen sebenar parti itu untuk menggerakkan perjuangan sebenar bagi menghadapi pilihan raya umum depan.

Penganalisis Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, PPBM menerusi Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad menunjukkan pendirian jelas dan komitmennya terhadap agenda perjuangan bagi menumbangkan Najib dan Umno-Barisan Nasional.

“Dr Mahathir tidak akan menarik brek dan berundur ke belakang lagi, sebaliknya akan terus meluncurkan bahtera dan menggerakan armada perjuangannya hingga jaya.

“Pelancaran secara rasmi parti PPBM menggambarkan yang beliau sudah bersumpah dan berikrar akan melakukan apa sahaja yang diidamkan.

“Dr Mahathir akan memberi gambaran matanya tidak akan tertutup selagi kemungkaran dilakukan Najib dan kerajaanya tidak dibersihkan,” tulisnya pada laman blognya, http://msomelayu.blogspot.my/.

Beliau berkata, iltizam itu sekali gus menjadi wadah baharu buat rakyat Malaysia untuk bersandarkan harapan bersama gabungan parti pembangkang lain.

Walaupun mengharungi keupayaan terhad disebalik usia muda penubuhannya, namun Sayuti menggambarkan obor perjuangan PPBM sudah mula dibakar dan bernyala bagi menghadapi pilihanraya.

“Nyalaan (obor) bakal membakar hangus segala kemungkaran Najib dan kuncu-kuncunya.

“Sesiapa jua yang waras akan teruja dengan suasana di Stadium Melawati diwarani dengan warna merah, warna bunga raya PPBM disulam gema dan jerik penuh bersemangat berjanji dan berikrar untuk menentang kemungkaran,” katanya.

=EZY=