Categories
KENYATAAN MEDIA

Penindasan politik terhadap mahasiswa/wi era Najib Razak

OLEH : Leong Yu Sheng

Dalam tahun 2016 sehingga awal tahun ini, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) daripada pelbagai varsiti tempatan telah mengambil tindakan prosiding dan disiplin terhadap sekurang-kurangnya 10 mahasiswa/wi yang lantang menyuarakan pendirian mereka terhadap skandal 1MDB.

Dalam Laporan Dunia Tahun 2017 yang disediakan oleh Human Rights Watch baru-baru ini, jelas kelihatan bahawa keadaan hak asasi manusia di Malaysia adalah semakin teruk dari semasa ke semasa terutamanya apabila kerajaan Najib Razak telah cuba sedaya upaya untuk membisukan kesemua individu yang menyuarakan bantahan mahupun pandangan mereka terhadap skandal 1MDB ini.[1]

Laporan Dunia Tahun 2017 telah menyenaraikan nama ahli politik serta aktivis masyarakat yang ditindas atas bantahan mereka terhadap skandal 1MDB. Walau bagaimanapun, sekumpulan mahasiswa/wi yang telah diambil tindakan prosiding oleh pihak HEP tidak disenaraikan dalam laporan tersebut.

Kemungkinan bahawa Laporan Dunia Tahun 2017 telah mengkategorikan insiden penindasan terhadap mahasiswa/wi sebagai tindakan dalaman pihak universiti dan makanya ia tidak disenaraikan sebagai tindakan penindasan politik oleh kerajaan BN.

aukuNamun, sebenarnya pihak universiti adalah menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk menzalimi semua pemimpin mahasiswa/wi yang menentang skandal 1MDB dan sesungguhnya AUKU adalah alat kerajaan yang bertujuan untuk melenyapkan segala gerakan mahasiswa dan maka kewujudan AUKU telah jelas mengilustrasikan niat politik sebenar kerajaan.

Sehubungan dengan itu, kesemua aktivis mahasiwa/wi yang diambil tindakan di bawah AUKU turut merupakan mangsa penindasan politik yang didalangi oleh rejim Najib Razak.

Oleh itu, Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan akan menyenaraikan 10 mahasiswa/wi yang telah diambil tindakan disiplin oleh pihak universiti lantaran tentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

Diharapkan pendedahan ini dapat menarik perhatian masyarakat umum terhadap tindakan berani mereka dan seterusnya akan bersolidariti serta menyokong kesemua aktivis mahasiwa/wi ini yang tidak gentar dalam perjuangan melawan rejim zalim ini.

Pada Julai tahun lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memulakan saman sivil berhubung dengan dakwaan penyelewangan dana bagi 1MDB.

Saman tersebut adalah bertujuan untuk mengambil balik AS$1 bilion yang telah diselewengkan oleh sesetengah individu melalui pembelian aset di luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mendakwa bahawa AS$ 3.5 lebih bilion telah diselewengkan dalam beberapa tahun ini dan penyelewengan ini adalah melibatkan beberapa penjawat awam di negara kita termasuklah Malaysian Official 1 (MO1).

Kebobrokan rejim MO1 telah mewujudkan pelbagai suara bantahan terhadap skandal tersebut yang memalukan nama negara di seantero dunia.

Pemimpin mahasiswa/wi di pelbagai varsiti tempatan turut menyuarakan pendirian mereka melalui pelbagai tindakan penentangan untuk menyedarkan seluruh rakyat Malaysia mengenai perihal rasuah kerajaan BN dan kumpulan mahasiswa tersebut turut menyeru untuk menangkap MO1 yang jelas menggelapkan wang rakyat.

Sehingga kini, telah terdapatnya beberapa pemimpin mahasiswa/wi yang telah dikenakan tindakan prosiding lantaran aksi penentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

anis_syafiqah270816b_620_430_100Pertamanya, 4 mahasiswa/wi Universiti Malaya (UM) yang menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah dikenakan tindakan prosiding oleh pihak HEP UM selepas tamatnya perhimpunan tersebut. Anis Syafiqah Md Yusof, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, dan Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali telah digantung pengajian mereka selama satu semester dan didenda sebanyak RM400.00 manakala Suhail Wan Azahar turut didenda RM400.00.

Seterusnya, pemimpin mahasiswa UKM, Asheeq Ali yang turut menganjurkan perhimpunan “Tangkap MO1” telah digantung pengajiannya selama 1 semester oleh pihak HEP UKM dan didenda sebanyak RM200.00. Asheeq Ali telah menyaman pihak UKM dan kerajaan persekutuan atas tindakan mereka yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan yakni tidak menghormati hak perlembagaan beliau untuk menyertai perhimpunan. Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan telah menganjurkan kempen dermaan untuk membantu Asheeq Ali dalam saman kes ini.

Bermulanya awal Januari tahun ini, aktivis mahasiswa UiTM, Ahmad Ariffin turut diajukan surat prosiding oleh pihak universiti UiTM atas penglibatannya dalam perhimpunan “Tangkap MO1” dan Bersih 5.0. Pihak universiti mendakwa bahawa mahasiswa/wi tidak bolehlah menyertai sebarang perhimpunan tanpa kebenaran mereka.

Pada 11 Januari 2017, terdapatnya lagi 4 pemimpin mahasiswa/wi yang menerima surat prosiding dan tatatertib oleh pihak HEP UM.

Antara mereka adalah Timbalan Presiden Kesatuan Mahasiswa Malaysia merangkap bekas Presiden UMANY, Ho Chi Yang, Timbalan Presiden UMANY merangkap ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Tan Jia You, Setiausaha UMANY, Lau Li Yang dan Ketua Biro Publisiti UMANY, Chua Hun Ti.

Keempat-empat mereka telah mempamerkan plakad ketika forum 1MDB anjuran JASA untuk menyatakan penentangan mereka terhadap skandal 1MDB.

NAJIB-1MDBKetika seluruh dunia sedang menyusuli skandal 1MDB dan digemparkan dengan kewujudan MO1, pelbagai varsiti tempatan pula sibuk menzalimi pimpinan mahasiswa/wi yang lantang bersuara dalam menentang penyelewengan dana 1MDB.

Apabila para menteri dan ahli parlimen BN memilih untuk membisukan diri terhadap isu 1MDB, terdapatnya sekumpulan mahasiswa/wi yang berani dan tegas untuk menampilkan diri mereka dan melawan rejim MO1 demi keadilan untuk semua.

Menurut sumber maklumat yang diumumkan oleh Academic Freedom Monitor, hanya terdapatnya 2 negara ASEAN yang pernah mengambil tindakan terhadap pensyarah ataupun mahasiswa pada tahun 2016 dan 2 negara tersebut merupakan Thailand dan Malaysia.[2]

Tatkala Malaysia masih berada di paras rendah dalam penilaian bagi Programme for International Student Assesment (PISA) dan terus merosot dalam kedudukan ranking universiti di seluruh dunia, universiti negara kita pula menjadi termasyhur hanya disebabkan tindakan pihak universiti yang tidak berhenti-henti dalam menindas mahasiswa/wi dan nescaya hal ini telah memalukan semua rakyat Malaysia.

Sebagai Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, saya menyeru kerajaan BN dan pihak universiti agar berhenti untuk menzalimi mahasiswa/wi dengan AUKU.

Pihak kerajaan mahupun universiti sepatutnya menghormati hak bersuara dan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Pimpinan mahasiswa/wi tersebut hanya menyuarakan bantahan mereka terhadap skandal 1MDB dan maka segala tindakan susulan yang diambil terhadap mereka adalah tidak adil dan munasabah lantaran mereka hanyalah bersuara demi rakyat jelata.

graduationSaya turut mengutuk sekeras-kerasnya segala tindakan yang cuba menyekat kebebasan akademik dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak HEP terutamanya penganjuran forum 1MDB yang jelas merupakan sesi cuci otak.

Tindakan kerajaan yang menindas mahasiswa/wi bukan sahaja telah mencabuli semangat kebebasan akademik varsiti, malah ia turut merupakan langkah rejim MO1 yang cuba untuk menutup segala kesalahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilakukannya selama ini.

Pimpinan mahasiswa/wi tersebut yang berani dan berintegriti merupakan aset yang berharga bagi tanah air kita. Seperti rakyat Malaysia yang lumrah, pimpinan mahasiswa/wi tersebut mempunyai nilai murni dan keadilan serta dianugerahkan semangat untuk berjuang habis-habisan demi masyarakat umum.

Kepada semua rakyat Malaysia, mereka bukan sahaja berjuang untuk generasi ini, bahkan demi anak cucu anda semua. Ayuh memberikan sokongan dan menyatakan solidariti terhadap mereka supaya pimpinan mahasiswa/wi ini boleh terus lawan tetap lawan dalam perjuangan ini.

[1] https://www.hrw.org/world-report/2017/country-chapters/malaysia

[2] http://monitoring.academicfreedom.info/region/336

 

* Leong Yu Sheng adalah Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan