Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Persatuan Pemandu Kontena Selangor anjur pertandingan badminton Piala YB Amirudin Shari

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 15 JAN: Buat julung kalinya Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Negeri Selangor (PPKS) menganjurkan Pertandingan Badminton Beregu Lelaki antara Haulier Piala YB Amirudin Shari, hari ini.

Pengarah Program, Amat Safii berkata, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan menyumbangkan hadiah platinum berjumlah RM5,300 bagi menjayakan lagi pertandingan itu.

“Program ini adalah julung kali diadakan di Selangor juga Malaysia untuk pemandu kontena.

amat“Objektif utama kita adalah untuk memperkenalkan persatuan ini yang baru ditubuh empat tahun lalu pada 2012, di samping mengeratkan lagi silaturrahim. Kami juga amat berbesar hati Kerajaan Negeri dan YB Amirudin menyumbangkan hadiah platinum dalam penganjuran badminton kali ini,” katanya kepada SelangorKini.

Amat berkata, terdapat 53 pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan iaitu 106 daripada pelbagai syarikat Haulier di Selangor dengan kos keseluruhan penganjuran RM23,000.

Selain Jawatan Kuasa Tetap Sukan, turut memberi sumbangan terbesar adalah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pelabuhan Klang yang diselia Pegawai Penyelarasnya, Azmizam Zaman Huri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Selat Kelang, Association Malaysia Haulier (AMH), Taipan Co, Agenda Wira, Superb Logistik, Scania dan Volvo.

Sementara itu, Pengerusi PPKS, Hisham Bakar turut melahirkan rasa syukur kerana persatuan yang ditubuhkan untuk membantu dan membela nasib pemandu kontena di Selangor mendapat kerjasama Kerajaan Negeri.

“Pertandingan ini sebagai permulaan program dan pengenalan kepada semua pemandu kontena di Selangor.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada peserta, kita akan merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan,” katanya.

-NFN-