Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Persatuan Penduduk Apartment Idaman gondol RM30,000

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 6 JAN: Persatuan Penduduk Apartment Idaman muncul menerima Anugerah Khas Juri, sekali gus membawa pulang RM30,000 dalam Anugerah Sustainable Community oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Anugerah disampaikan Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dalam majlis yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Damansara, baru-baru ini.

Azizi berkata, pengiktirafan itu berdasarkan inisiatif pembangunan mampan dan bertujuan untuk meningkat kreativiti serta kemahiran merancang projek dalam kalangan komuniti bagi memikirkan idea baru yang boleh diketengahkan.

“Langkah positif ini mendapat penyertaan 53 berbanding 25, pada tahun 2014.

“Kali ini, MBPJ turut memperkenalkan kategori baru di bawah program belia memandangkan golongan ini merupakan modal insan yang akan membentuk masa depan generasi,” katanya.

mbpj-anugerah-komuniti-1Azizi berkata, sebanyak 1,160 inisiatif atau projek pembangunan mampan terhasil daripada komuniti ini, sejak tahun 2000.

“Evolusi positif ini mengesahkan impak pelaksanaan yang dijalankan perunding Universiti Malaya, pada tahun 2015.

“Anugerah Komuniti Mampan merupakan ‘platform’ paling berkesan dalam membina kapasiti komuniti Petaling Jaya,” katanya.

Turut menerima anugerah ialah KRT SS24 Taman Megah Fasa2 (RM30,000) dan Persatuan Penduduk Blok 3 Desa Mentari (RM30,000) bagi kategori alam sekitar.

Persatuan Kebajikan Penduduk Petaling Perdana (RM30,000-kategori ekonomi); Persatuan Penduduk Apartment Idaman (RM30,000-budaya dan komuniti); Persatuan Penduduk SS20 Zon Sentral (RM30,000-habitat).

Manakala, Persatuan Pemilik dan Penghuni Rumah Damansara Jaya (RM30,000-kategori urus tadbir).

Bagi kategori belia pula, Search and Destroy Aedes Junior (RM10,000-johan); Kelab Belia DJROA (RM5,000-naib johan) dan Jiran Muda Flat PKNS Taman Dato’ Harun (RM3,000-ketiga).

-NFN-