Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PPBM cadang bentuk Barisan Rakyat hadapi BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sentiasa bersikap terbuka untuk membentuk kerjasama dengan semua parti pembangkang di dalam gabungan yang dinamakan Barisan Rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

BERSATU (13)Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan pembangkang dalam pilihan raya merupakan pra syarat utama untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membentuk sebuah kerajaan lebih baik.

“Kita telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan saya anggap sebagai satu perkembangan amat positif dalam usaha membentuk sebuah gabungan politik yang mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Kita juga sedang berunding dengan parti di luar PAKATAN untuk membentuk satu gabungan politik yang mantap dengan matlamat memenangi PRU-14 dan membentuk kerajaan iaitu gabungan politik yang disertai semua pembangkang ini boleh kita namakan Barisan Rakyat untuk menentang BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PPBM yang dirasmikan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Tertutup Malawati, di sini, semalam.

Katanya, terdapat suara sumbang daripada jentera propaganda Umno yang menuduh PPBM menggadai kepentingan Melayu bagi menakut-nakutkan pengundi kaum itu dalam usaha membentuk kerjasama dengan parti pembangkang.

Katanya, ia membuktikan Umno semakin ketandusan idea untuk mempertahankan kuasanya kecuali dengan memainkan isu perkauman.

-NFN-