Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hadkan kuasa PM, tubuh Suruhanjaya Diraja siasat 1MDB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Kuasa Perdana Menteri akan dihadkan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi memastikan kuasa yang ada pada Perdana Menteri digunakan untuk memelihara kepentingan rakyat bukan untuk menjaga kepentingan peribadi.

“Saya akan bincang dengan pimpinan parti PAKATAN dan kita telah mengadakan perjanjian kerjasama untuk menilai kuasa Perdana Menteri yang boleh kita hadkan dengan tujuan meningkatkan intergriti serta akauntabiliti Perdana Menteri juga anggota kabinet,” katanya pada Majlis Pelancaran PPBM di Stadium Tertutup Malawati di sini, semalam.

BERSATU (13)Muhyiddin berkata, cadangan itu dibuat bagi mengukuhkan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Selain itu, PPBM juga akan mencadangkan reformasi institusi penting dilaksanakan seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya institusi terbabit boleh berfungsi seperti yang termaktub dalam perlembagaan juga undang-undang negara.

Katanya, PPBM turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Bagi memberikan keadilan kepada rakyat yang terpaksa menanggung beban hutang 1MDB berjumlah puluhan bilion ringgit, kita juga akan menuntut wang dan harta 1MDB yang dicuri juga dibawa lari ke luar negara supaya dikembalikan ke Malaysia secepat mungkin.

“Ini adalah sesuatu yang gagal dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini,” katanya.

-NFN-