Categories
NASIONAL

Prosiding dedah laporan 1MDB diteruskan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 11 NOV: Peguam yang dilantik Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengambil langkah seterusnya meneruskan prosiding perundangan mencabar tindakan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Mohamed Azmin berkata, langkah itu ekoran rakyat sebagai pembayar cukai mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran di sebalik isu kehilangan wang dalam skandal 1MDB.

“Saya memohon semakan di mahkamah supaya laporan 1MDB dapat didedahkan kepada rakyat kerana ia adalah kepentingan kepada mereka.

“Mahkamah Tinggi membenarkan semakan ini dan peguam akan mengambil tindakan sewajarnya untuk meneruskan prosiding perundangan yang saya maksudkan,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak projek menaik taraf sistem saliran di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi dianggap sebagai kejayaan awal rakyat menentang penyelewengan terbesar negara itu.

Terdahulu, dalam permohonan difailkan pada 15 Ogos 2016, Mohamed Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah berasaskan konflik kepentingan.

Katanya, tindakan itu juga disifatkan tidak berpelembagaan kerana melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

-AA-