Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda: Jangan sisih pesalah, beri peluang mereka bangkit

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 23 JAN: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar setiap orang yang pernah melakukan kesalahan diberi peluang memperbaiki diri menjadi insan lebih baik serta tidak terus disisihkan masyarakat.

Penaung Diraja dan Presiden Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) itu juga bertitah, baginda yakin mereka mampu menjadi aset bernilai sekiranya diberi ruang secukupnya.

“Semua berjaya di dunia ini sering berkata bahawa mereka melakukan banyak kesalahan dalam hidup mereka, tetapi kuncinya adalah bangkit di saat rebah.

IMG-163545_557“Kita juga perlu saling menyokong satu sama lain sebagai satu komuniti.

“Hari ini, kita meraikan pelajar yang berjaya menamatkan latihan pemulihan untuk memulakan kehidupan normal dan kita juga bersedia menerima mereka kembali ke dalam komuniti,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina – ‘Harapan dan Kemakmuran’, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2), di sini, hari ini.

Majlis menyaksikan seramai 40 pelatih Rumah Victory Drug Rehabilitation Centre dan One Way Home diraikan dalam program khas bersama Raja Muda Selangor itu.

Majlis turut menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani di antara Segi Value Holdings Sdn Bhd dan Biforst Group dengan Malaysian Substance Abuse Council (MASAC).

MASAC merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat pemulihan berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Beta berterima kasih terhadap semua pihak terlibat termasuk guru dan pembantu di pusat pemulihan memainkan peranan kritikal membimbing pelatih.

“Sesungguhnya beta sentiasa ada untuk menyokong perjalanan hidup kamu semua ke arah lebih baik,” titahnya.

-nR-