Categories
KENYATAAN MEDIA

Reformasikan FAM, susun strategi martabatkan bola sepak

OLEH DR AFIF BAHARDIN

Angkatan Muda Keadilan merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Mohd Faiz Subri, pemain Pulau Pinang yang telah memenangi Anugerah PUSKAS 2016 untuk jaringan gol tercantik yang telah beliau lakukan pada 16 Februari 2016 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Penganugerahan dan kejayaan ini adalah pencapaian terbaik di peringkat antarabangsa untuk seorang pemain bolasepak profesional yang pernah dicapai oleh rakyat Malaysia.

Pastinya kami dan seluruh rakyat Malaysia merasa bangga dengan pencapaian ini dan mendoakan agar Faiz Subri terus berjaya di dalam karier beliau selepas ini.

Mengambil semangat dan inspirasi daripada kejayaan Mohd Faiz Subri ini, sebagai rakyat Malaysia kita harus yakin bahawa jika sesiapa saja mempunyai keazaman dan keyakinan diri yang tinggi, disertakan dengan kesungguhan pastinya akan mencapai kejayaan.

Moga kejayaan beliau menjadi inspirasi untuk anak muda Malaysia untuk terus mengejar cita-cita dan impian masing-masing sehingga berjaya.

Angkatan Muda Keadilan juga ingin menggesa pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk segera melakukan reformasi dan menyusun strategi untuk menjulang semula martabat bola sepak negara.

Kami percaya, untuk melakukan itu, sikap keterbukaan, ketelusan dan anti-rasuah wajib ditekankan di dalam pengurusan dan pentadbiran FAM.

Struktur FAM juga harus lebih demokratik agar pemilihan kepimpinan dan jawatankuasa menjadi lebih telus dan dipimpin oleh mereka yang benar-benar layak.

Angkatan Muda Keadilan juga percaya bolasepak dan juga apa saja acara sukan lain mampu menjadi wadah terbaik untuk mengalakkan perpaduan nasional dan penglibatan anak muda dalam aktiviti yang sihat dan berfaedah.

Kejayaan Mohd Faiz Subri dan juga beberapa kejayaan sukan lain sebelum ini seperti badminton, skuasy, Sukan Olimpik dan Paralimpik telah membuktikan bahawa ianya mampu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Oleh itu pengurusan dan halatuju bidang sukan yang jelas dan tersusun adalah perlu demi menjamin kesinambungan kejayaan di dalam bidang sukan negara.

* Dr AFIF BAHARDIN, TIMBALAN KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN