Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Ribut dan banjir kilat landa UIAM, pokok hempap kereta

GOMBAK 18 JAN: Beberapa lokasi di daerah ini dilanda banjir kilat, selain kejadian pokok tumbang sehingga mengganggu lalu lintas susulan hujan lebat lebih sejam, petang semalam.

Beberapa keping foto dimuat naik pengguna media sosial menunjukkan beberapa batang pokok menghempap kereta di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selain turut berlaku kejadian banjir kilat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kejadian itu berlaku berhampiran pintu masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta di tempat letak kereta Fakulti Ekonomi universiti itu.

“Tiga batang pokok dilaporkan tumbang berhampiran pintu masuk UIAM bersebelahan Plaza Tol Gombak dan salah satunya menghempap sebuah kereta Honda City, namun tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

C2XjF4NUoAAY_Of“Sementara itu, dua batang pokok dianggarkan sebesar tiga pemeluk lelaki dewasa tumbang akibat angin kencang menghempap 10 buah kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta Fakulti Ekonomi UIAM,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, katanya laporan banjir kilat serta banjir lumpur turut diterima membabitkan beberapa lokasi.

Antara paling teruk terjejas adalah di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Gombak menghala Ampang berhampiran susur keluar Lebuhraya Karak-Gombak hingga menyebabkan ketiga-tiga lorong terpaksa ditutup.

Selain itu, beberapa lokasi lain turut dilaporkan berlaku pokok tumbang, antaranya di laluan utama Kampung Gombak Utara, Kampung Sungai Chincin dan Fasa 5 Sri Gombak.

=EZY=