Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

RM2 juta bantu rakyat Syria beli keperluan asas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mensasarkan sumbangan RM2 juta untuk membantu mangsa konflik di Syria bagi membeli keperluan asas.

Pengarah Strategiknya, Sani Arabi Abd Halim berkata, keperluan terbabit meliputi makanan, alat pemanas, pakaian dan selimut.

Katanya, MAPIM turut merancang untuk membina 1,000 rumah kontena bagi kemudahan pelarian di Syria dengan kerjasama Kerajaan Turki.

“Tinjauan mendapati banyak khemah pelarian yang digunakan sejak tiga tahun lalu rosak dan kurang sesuai daripada segi privasi dan kebersihan.

syria“Perkampungan pelarian yang akan diberi nama Kem Malaysia Turki ini akan dibina mulai Februari. MAPIM dan Turki akan menjadi operator selama tiga tahun,” katanya yang baru pulang selepas menyertai Misi Bantuan Kecemasan Syria siri ketujuh, baru-baru ini.

Sani merayu rakyat Malaysia tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa krisis di Aleppo sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.

Katanya, situasi kemanusian sangat genting di wilayah itu dan ketika ini dengan jumlah pelarian meningkat kepada 11 juta orang serta memerlukan bantuan makanan, perubatan dan tempat tinggal.

“Mereka kini berhadapan dengan cuaca sejuk di bawah enam darjah celcius dengan kebanyakan khemah yang dijadikan sebagai tempat berlindung sudah rosak dan uzur.

“Cuaca sejuk ini akan berlarutan hingga April ini, sekali gus mengakibatkan ramai kanak-kanak berhadapan dengan penyakit atau kematian,” katanya.

Pihak yang berminat memberi sumbangan boleh menyalurkan derma tersebut melalui akaun Maybank 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana MAPIM.

Kumpulan misi bantuan disertai tiga anggota lain itu ke Syria selama 10 hari bagi menghantar makanan, perubatan dan alat pemanas serta dua buah ambulans yang bernilai RM500,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Pada 15 Januari ini, MAPIM akan berlepas ke Syria bagi misi bantuan kelapan.

-NFN-