Categories
AGENDA NASIONAL

Mapim sasar kutipan RM500,000 Tabung Infaq Ramadan

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasar kutipan RM500,000 menerusi Tabung Infaq Ramadan menjelang akhir Syawal.

Presidennya berkata kutipan tersebut akan disalurkan ke 17 negara Islam di Asia dan Timur Tengah yang sedang ditekan dengan konflik serta penindasan.

“Kita berharap sasaran ini mampu dicapai. Dana akan terus disalur ke negara terlibat mengikut keutamaan selepas mengumpul setiap RM20,000 dan jumlah tersebut berjaya diperoleh sejak kempen bermula tiga hari lalu.

“Kita sedang bangunkan satu aplikasi bagi membolehkan orang ramai menyumbang dengan cepat dan ia akan dilancar dalam masa terdekat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid selepas majlis pelancaran tabung berkenaan sempena Di Ambang Ramadan di sebuah restoran di Tasik Shah Alam di sini malam tadi.

Pelancaran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad serta EXCO hal ehwal agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Mohd Azmi berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang menunjukkan komitmen untuk bersama menyokong kempen berkenaan dan berharap juga boleh menyumbang bagi membela golongan berkaitan.

“Sokongan ahli korporat, aktivis sosial dan ulama juga akan menambah kekuatan bahawa program ini boleh disertai banyak pihak,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui Mapim di akaun (CIMB-604556678).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Langkah Mapim lancar Tabung Infaq Ramadan dipuji, wajar dicontohi

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri memuji inisiatif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mewujudkan Tabung Infaq Ramadan bagi membantu asnaf di 17 negara Islam yang bergolak.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu selari dengan peranan dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa mengambil berat isu kemanusiaan umat Islam seluruh negara dan wajar dicontohi pihak lain.

“Saya sebenarnya takjub dengan tenaga Mapim terutama Presidennya (Mohd Azmi Abd Hamid) yang bertahun-tahun terlibat dalam aktiviti ini tanpa rasa lelah.

“Justeru, Kerajaan Negeri menyokong usaha Mapim yang saya kira sebahagian besar (tabung infaq) akan dilaksanakan di Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran tabung berkenaan di Restoran Kak Anie Shellrock, Tasik Shah Alam di sini malam tadi.

Beliau berkata usaha tersebut adalah tauladan yang baik kepada semua supaya prihatin serta cakna dengan persekitaran seterusnya bergerak bersama ke arah lebih baik.

Dalam majlis sama, Amirudin turut melancarkan buku berjudul ‘Bumi Yang Diberkati’ karya Dr Mohamad Fawzi Zakaria.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mapim: Laporan tertunggak, lewat kes Covid-19 perlu segera dibaiki

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa tunggakan dan kelewatan laporan kes Covid-19 di negara ini segera diperbaiki bagi mengelak situasi cemas masyarakat.

Presidennya berkata laporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tidak sepatutnya berlaku kerana peningkatan jangkitan harian mengundang tanggapan umum.

“Lonjakan wabak serius ini tidak harus dilihat ringan kerana kesannya bukan sekadar soal kesihatan fizikal tetapi juga mental.

“Kami kesal ini boleh berlaku kerana fakta dan data memberi kesan besar kepada keputusan pihak berkuasa sekali gus meningkat ketakutan masyarakat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kelewatan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka) oleh fasiliti swasta berdaftar seperti klinik dan hospital harus ditangani bagi mengelak kekeliruan.

“Walaupun sistem canggih namun kelemahan penggunaan menyebabkan keputusan tidak tepat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kartel daging, kerajaan perlu perkemas sistem pengawasan – Mapim

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan digesa memperkemaskan sistem pengawasan import eksport komoditi makanan dari negara luar bagi mengelak berlaku kebocoran atau penyelewengan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata perkara itu bagi memastikan insiden kartel daging import sejuk beku bertanda halal palsu baru-baru ini tidak lagi berulang.

“Semua penguat kuasa perlu melakukan operasi bersepadu terutama di pintu masuk dalam negara sama ada di pelabuhan, kargo lapangan terbang atau sempadan darat,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang menuding jari kepada sesebuah agensi tanpa siasatan menyeluruh.

“Perlu ada usaha bersungguh untuk menilai sejauh mana sistem penguatkuasaan sedia ada benar-benar dapat mengawal kemasukan barangan luar dalam kuantiti besar supaya tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Bantu kanak-kanak pelarian dapat akses pendidikan

*Kenyataan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid

Kami mengesa kerajaan membantu kanak-kanak pelarian Rohingya dan pelarian yang lain diberikan akses pendidikan yang sewajarnya.

Kami mengalukan jawapan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata, menerusi pusat bimbingan alternatif (PBA), kanak-kanak pelarian boleh mendapat akses pendidikan.

Kami mencadangkan mereka dibenarkan menggunakan kurikulum negara ini.

Namun kami menyarankan adalah lebih baik mereka boleh mendapat pendidikan formal disekolah kebangsaan.

Paling tidak PBA dibangunkan khas dengan bantuan UN dan OIC untuk kanak-kanak itu mendapat pendidikan yang sempurna.

Kami menyeru agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) Arahan No. 23 yang menyatakan bahawa pemegang kad UNHCR adalah berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kami mencadangkan arahan itu disemak semula supaya aspek pendidikan diberi perhatian kerana ini adalah keperluan universal kepada semua kanak-kanak diseluruh dunia.

Kami menyambut baik akses pendidikan PBA kepada kanak-kanak Rohingya, diberi pada tahun 2016 oleh kerajaan.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM ) telah menyediakan garis panduan penubuhan dan pendaftaran PBA. Oleh itu kami mengharapkan kanak-kanak itu mendapat pendidikan yang berkualiti.

Usha pelbagai Ngo yang cuba menbantu persekolahan kanak-kanak tersebut maseh terbatas, untuk memastikan mendapat pendidikan yang boleh menjamin masa depan mereka.

Setakat ini kami menganggarkan tidak kurang dari 30,000 kanak-kanak pelarian berusia sekolah yang tidak berpeluang mendapat pendidikan dinegara ini.

Mereka berumur empat hingga 15 tahun yang tidak berpeluang mendapat akses kepada pendidikan formal, sama ada di institusi kerajaan atau swasta.

PBA ditubuhkan pada Mac 2015 yang dibenarkan untuk ditubuhkan sama ada oleh pihak kerajaan, syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta badan bukan kerajaan atau pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), atau Kementerian Dalam Negeri.

Akses kepada pendidikan adalah hak asasi kemanusiaan yang diiktiraf antarabangsa.

Malaysia harus mencari jalan agar pendidikan berkualiti dapat diberi kepada kanak-kanak pelarian.

Isu pendatang asing tanpa dokumen memang diakui rumit untuk diatasi.

Kami berpendapat walaupun Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 berkenaan Status Pelarian, akan tetapi menyantuni keperluan asasi dibawah Undang-undang Antarabangsa Kastomori ( Customary International law) masih perlu diperakui.

Dibawah Akta Imigresen 1959/63, semua pelarian dianggap sebagai pendatang tanpa dokumen, yang berdepan risiko ditangkap dan diusir pihak berkuasa. Bagi etnik Rohingya yang tidak punya sebarang kewarganegaraan, menjadi etnik paling mudah diesploitasi sementara menunggu mereka diterima untuk dihantar kenegara ketiga.

Proses yang dilalui untuk dihantar mereka ke negara ketiga sering mengambil masa bertahun-tahun apatahlagi dalam keadaan pandemik Covid-19.

Kehidupan mereka akan menerima kesan jangka panjang yang buruk sekiranya mereka dinafikan hak pendidikan dan kesihatan.

Implikasi sosial akan diterima masyarakat tempatan jika kanak-kanak pelarian tidak mempunyai pendidikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

NGO hantar memorandum hak pelarian, pencari suaka kepada kerajaan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar memorandum Hak Pelarian dan Pencari Suaka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pelarian yang masuk ke negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata kerajaan perlu mengambil serius perkara berkaitan dan ditangani mengikut konsep Islam walaupun Malaysia tidak menandatangani konvensyen mengenai pelarian 1951.

“Kami menolak sekeras-kerasnya mereka yang menyemarakkan kebencian dan tindakan melampau terhadap golongan pelarian mencari pelindungan.

“Kami berpendirian pihak menafikan hak pelarian sebagai manusia serta mengeksploitasi mereka yang tidak mempunyai hak perlindungan di sisi undang-undang adalah bertentangan dengan syariat Islam,” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama pada sidang media di Hotel Carlton.

Kenyataan itu turut disokong Aliansi Masjid Sedunia Pertahan Al Aqsa dan Sekreteriat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura).

Memorandum berkenaan turut menggariskan lapan gesaan antaranya meminta polis bertegas terhadap sindiket penyeludupan pelarian masuk ke dalam negara.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Hentikan perang di Yaman serta-merta

Kami mendesak perang di Yaman dihentikan serta-merta dan menghentikan operasi militari serta menarik keluar semua anggota tentera dari negara itu.

Cadangan Bin Salman untuk membahagikan kawasan kawalan kepada Utara dan Selatan tidak bermakna.

Hanya satu jalan keluar, iaitu tentera luar hendaklah keluar dari Yaman dan pampasan kepada rakyat Yeman hendaklah dilunaskan.

Keputusan Emirat untuk mengurangkan tenteranya di Yaman bukan sahaja dialu-alukan, malah satu- satunya cara penyelesaian.

Pihak tentera dari negara lain juga sewajarnya mengikut langkah Emirat.

Perang Yaman ini sudah tidak lagi berhasil mencapai apa-apa melainkan kehancuran dan penderitaan.

Kawasan Teluk Parsi itu kini tidak stabil akibat perang yang menghancurkan semua prasarana awam.

Adalah logik Emirat merasa beban menanggung kos membiaya perang ini sangat tinggi.

Mike Hindmarsh, seorang pesara mejar jeneral Australia, komander kawalan Presiden Emirat mengaku perang Yaman ini gagal.

Pihak Houthi berjaya menunjukkan pelawanan berkesan terhadap serangan tentera koalisi Saudi, malah mereka mendapat jolokan “Yemeni Viet Cong”.

Penggerak utama perang itu ialah Arab Saudi dan Emirat yang kini terpaksa menanggung kos perang yang sangat tinggi.

Kempen menyerang Yemen di bawah Arab Saudi bermula Mac 2015, dan sehingga kini keadaan semakin parah.

Tentera di bawah Arab Saudi mengumumkan kononnya hendak menyelesaikan perang ini dengan pantas dan berkesan dalam hanya beberapa minggu sahaja.

Akan tetapi sehingga hari ini, perang itu berlarutan.

Kami mengutuk tentera gabungan Saudi yang mengebom kawasan kediaman dan prasarana awam, juga menyerang ketika acara perkahwinan serta pengkebumian sedang berlangsung.

Serangan Saudi membunuh dan mencedera puluhan ribu rakyat awam.

Laporan Armed Conflict Location and Event Data Project (ACLED), sebuah badan kajian konflik perang pada Disember 2018 menyatakan perang yang dicetuskan Saudi itu meragut lebih 60,000 nyawa di Yaman, sejak Januari 2016.

Save the Children, sebuah badan kebajikan pula melaporkan lebih 84,700 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati kebuluran sejak serangan brutal tentera koalisi Saudi ke atas Yaman yang sememangnya sudah sedia negara miskin.

Kami mendesak negara barat menghentikan menjual senjata kepada Arab dan Emirat yang menyerang Yaman dan mengakibat kesengsaran 28 juta rakyat negara itu yang sangat berat sehingga PBB menyifatkan Yaman kini sebagai “krisis kemanusiaan terbesar di dunia”

Menurut badan dunia itu, Yaman menderita kebuluran terburuk sejak 100 tahun, malah panel PBB mengumpul laporan, mangsa serangan Saudi adalah akibat tentera di bawah gabungan Saudi itu mengguna serangan tepat ke atas rakyat awam.

Kenyataan oleh Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden MAPIM)

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kontena bawa sumbangan rakyat Malaysia tiba di Palestin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 MEI: Empat kontena yang membawa sumbangan rakyat Malaysia untuk diagihkan kepada penduduk Gaza di Palestin, selamat tiba di wilayah itu, pada 26 Mei lalu.

Berita gembira itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

“Alhamdulillah bantuan hasil infaq rakyat Malaysia yang mengamanahkan MAPIM untuk disampaikan kepada saudara Islam di Gaza, Palestin sedang giat diagihkan.

“Bantuan ini menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersama dalam membela bumi yang dijajah oleh Israel,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut terharu apabila penduduk di Gaza melambaikan tangan serta berteriak kuat dengan menyebut ‘thank you’.

“Jelas terpampang kegembiraan mereka tatkala melihat bendera Malaysia dan Gaza dipasang bersama pada lori kontena yang membawa kotak bantuan makanan.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang peduli ummah,” katanya.

Categories
GLOBAL

Kompleks rumah wakaf MAPIM manfaat pelarian Syria

SYRIA, 20 APRIL: Projek Kompleks Perumahan Wakaf Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di kem Qadisiyah bakal dilengkapi sistem perparitan sistematik dan efektif, bagi menangani masalah banjir lumpur kritikal yang melanda kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, projek bernilai RM3 juta itu adalah inisiatif pihaknya melalui sumbangan rakyat Malaysia yang bakal memanfaatkan 100 keluarga pelarian Syria untuk memohon dan menduduki perumahan tetap itu.

“Projek itu dijangka siap November ini dan akan memberikan keutamaan kepada anak-anak pelarian yang menjadi yatim piatu dan keluarga yang mempunyai anggota tercedera akibat ditembak atau dibom tentera.

“Malahan pihak kita mengambil kira dariipada sudut strategiknya kawasan kem Qadisiyah ini kerana ia terletak berhampiran sempadan Turki-Syria,” katanya kepada Bernama selepas majlis pecah tanah kompleks perumahan itu, di sini.

Beliau berkata, projek pembinaan itu membabitkan 100 unit rumah batu dengan tiga bilik, hasil sumbangan RM2,500 untuk satu bahagian penderma, rentetan daripada projek Wakaf Myhome for Syrian Family yang digerakkan MAPIM, bermula tahun lalu.

Ahmad Sani Araby berkata, perumahan itu adalah antara projek yang direncana bagi merealisasikan Perkampungan Wakaf MAPIM Malaysia.

Selain itu, terdapat juga projek pembinaan dua buah Sekolah Wakaf MAPIM Malaysia sedang dibina di kawasan ini dan Danaa, Idlib dengan kedua-duanya bakal menempatkan 3,000 pelajar.

MAPIM melalui projek kerjasama dengan agensi wakaf Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV) juga sedang membina sebuah masjid di kawasan A’zaz yang boleh menempatkan 400 jemaah, pada satu-satu masa dengan reka bentuk binaan Malaysia dan bakal siap, hujung tahun ini.

Katanya, pihaknya masih memerlukan RM2 juta lagi bagi menampung dan menambah baik sebarang perubahan atau kerosakan yang tidak terjangka jika terjadi.

Beliau berkata, MAPIM meminta rakyat Malaysia untuk tidak berhenti menghulurkan sumbangan untuk Tabung Misi Kemanusiaan Rescue Syria menerusi www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) bagi membantu pelarian Syria.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian hotline 1300-888-038. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAPIM sembelih 150 kambing untuk pelarian Syria

LUBNAN, 6 APRIL: Sumbangan rakyat Malaysia untuk tabung Misi Kemanusiaan Syria ke-10, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membolehkan 150 ekor kambing dibeli buat pelarian Syria sekitar Lubnan.

Setiausaha Agung Mapim, Mejar Zulhanis Zainol berkata rezeki yang dikongsi bersama rakyat Malaysia itu dapat memanfaatkan hampir 3,000 pelarian Syria di kem-kem pelarian, di sini.

“Mapim merasa kagum dengan tindakan proaktif rakyat Malaysia kerana dalam masa hanya seminggu kita berjaya mengumpul wang yang mencukupi untuk membeli 150 ekor kambing untuk disembelih dan diagihkan kepada hampir 3,000 pelarian Syria di kem-kem pelarian sekitar Lubnan,” katanya kepada Bernama selepas selesai program Mapim Global Qurban & Akikah di kem pelarian Beyrouti, pada Jumaat.

Menurut Zulhanis, bagi program kali ini, Mapim sendiri turun padang untuk bersama-sama membantu bermula dari proses penyembelihan kambing sehingga selesai pengagihan daging kepada 600 keluarga pelarian di tiga kem pelarian di sekitar Lubnan.

Dalam program yang sama, Mapim turut menyerahkan bantuan berupa minyak gasolin, makanan yang telah dipek serta selimut tebal untuk diagihkan kepada pelarian di kem Beyrouti, Adam Ithnin dan Zairuti.

Zulhanis berkata dalam misi kali ini, rakan NGO dari Lubnan iaitu Ghirass for Society Development yang banyak membantu dari segi mengenalpasti setiap barang keperluan yang diperlukan pelarian di sini.

BEQAA (LUBNAN), 6 April — Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol (tiga, kiri) menyampaikan bantuan barangan keperluan seperti gasolin, selimut dan pek makanan selepas program MAPIM Global Qurban & Aqiqah pada Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk ke-10 dan ke-11 di kem pelarian Beyrouti, Beqaa Tengah semalam.
Misi kemanusiaan itu terbahagi kepada dua bahagian — misi ke-10 melibatkan penyerahan bantuan makanan dan keperluan asas buat pelarian Syria yang berada di Lubnan dan misi ke-11 melibatkan pemberian bantuan barangan keperluan asas kepada pelarian di Syria.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Katanya Mapim bercadang untuk melakukan program itu secara berkala setiap bulan di Lubnan serta di sembilan negara yang lain, manakala untuk Hari Raya Aidiladha tahun ini pula Mapim bakal mengatur misi ke 40 buah negara untuk menghulurkan bantuan daging korban kepada pelarian perang di negara-negara terbabit.

Dalam pada itu, Setiausaha kedua di Pejabat Kedutaan Malaysia di Lubnan Nur Haidar Abd Wahid turut singgah menemui delegasi Mapim untuk menyerahkan bantuan berupa selimut tebal dan wang kepada pelarian di tiga kem pelarian di sini.

“Pejabat Kedutaan melalui kerjasama Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) dan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas untuk United Nations Interim Force di Lubnan (UNIFIL) turut bersama-sama menghulurkan bantuan selimut dan sejumlah wang buat pelarian yang berada di tiga kem ini,” katanya.

Beliau berkata pejabat Kedutaan Malaysia di Lubnan amat mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak daripada Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan di sini, namun perlu memaklumkan setiap perincian pelan program kepada pihak kedutaan lebih awal agar kerja-kerja koordinasi dapat dilaksana secara lebih efektif. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAPIM sertai usaha SAR mangsa tsunami Selat Sunda

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tsunami di Selat Sunda, sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, operasi berkenaan diketuai Mejar Bersekutu Zulhanis Zainol dan Kapten Bersekutu Shukri Othman untuk menyalurkan bantuan awal.

“Akibat angka korban dan cedera yang semakin meningkat, MAPIM juga menyalurkan bantuan asas berupa kotak makanan serta keperluan lain.

“Turut sama menyertai misi kali ini adalah rakan strategik MAPIM, iaitu Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia yang lengkap anggotanya,” katanya kepada SelangorKini.

Sani berkata, operasi pencarian yang bermula sejak semalam terpaksa dihentikan seketika akibat amaran tsunami gelombang kedua.

“Saya dimaklumkan ketika anggota sedang menjalankan kerja pencarian mangsa, sukarelawan menerima arahan untuk menghentikan pencarian kerana terdapat amaran air pasang yang berkemungkinan tsunami kali kedua,” katanya.

Pada masa sama, Sani berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah menyumbangkan dana kepada Akaun Maybank 558220605312 (Dana Mapim).

Sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian hotline 0192890298 atau e-mel kepada [email protected].

Categories
NASIONAL

MAPIM lancar tabung bantu mangsa tsunami Pulau Sulawesi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan tabung bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami, di Pulau Sulawesi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, pihaknya menyasarkan RM500,000 untuk pembelian bantuan asas.

“Ia seperti bantuan makanan, selimut, khemah, bahan bakar, pek kebersihan diri, pek solat, susu dan kanak-kanak.

“Sehingga semalam, MAPIM baru berjaya mengumpul RM50,000 dan dijangkakan kami akan masuk ke kawasan kejadian tsunami dan gempa untuk penghantaran bantuan kecemasan pertama,” katanya dalam kenyataan di facebook, hari ini.

Sani berkata, terdapat dua cara untuk orang ramai membuat sumbangan iaitu infaq melalui dalam talian www.billplz.com/RayuanSulawesi atau bayaran ke akaun Dana MAPIM (Maybank 558220605312).

“Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi talian hotline 0137969106 atau email kepada [email protected],” katanya.