Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Safee Sali mampu kembali berbisa

OLEH AFIX REDZUAN

JENGKA, 22 JAN: Penyudah kurang tajam yang dipamerkan penyerang PKNS FC, Mohd Safee Mohd Sali ketika pasukannya tewas 1-0 kepada Felda United dalam aksi sulung Liga Super 2017 tidak menggusarkan ketua jurulatih, E Elavarasan.

Beliau percaya, bekas penyerang kebangsaan itu mampu kembali ke prestasi terbaiknya sebelum ini selepas lama tidak beraksi secara kerap.

“Saya rasa Safee mampu memberikan persembahan lebih baik sebab dia sudah lama tidak bermain.

PKNS FC (2)“Dia juga ada beberapa peluang dalam perlawanan ini (semalam) dan mampu memperbaiki kelemahannya,” katanya.

Dalam aksi bertemu Felda United semalam, persembahan Mohd Safee menjadi tumpuan petugas media selepas meninggalkan kelab Johor Darul Takzim (JDT) untuk kembali bermain di Selangor bersama PKNS FC musim ini.

Beliau yang bergandingan bersama Patrick Ronaldinho Wleh dan Matias Hadwa di jentera serangan dilihat masih tercari rentak untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Walaupun melakukan beberapa percubaan dan gagal membolosi gawang Felda United, beliau dilihat mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan kawalan bola yang baik sepanjang 90 minit permainan.

Anak jati Selangor yang berasal dari Kajang itu pernah melalui musim gemilang bersama Selangor dan JDT selain menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi di Liga Indonesia.

Beliau juga menjadi tonggak utama skuad Harimau Malaya ketika menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 dan penjadi penjaring terbanyak negara sepanjang kejohanan itu dengan sembilan gol.

-NFN-