Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: RM500,000 dukung pengajian bersijil Masjid Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi tahun ini dalam mendukung usaha terhadap program Pengajian Bersijil Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah supaya berterusan mendalami ilmu Islam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu bagi mempertingkatkan program sedia ada secara berterusan.

“Kita perlu mengikut jejak langkah Fatimah al-Fihri yang berusaha secara mandiri untuk mengumpul dana demi menyemarakkan program ilmu Islam melalui sistem wakaf kerana dalam sejarah tamadun Islam, sistem wakaf penggerak utama pendidikan dan ilmu.

Azmin“Justeru sebagai tanda dukungan, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM500,000 tahun ini,” katanya ketika merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil sesi 2016, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Dewan Jubli Perak, di sini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Harris Kasim selain Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Farhan Wijaya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, penganjur program perlu berusaha mendapatkan pengiktirafan sijil kualiti ISO dan menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam atau swasta bagi mendapat pengiktirafan sijil peringkat MQA, pada masa akan datang.

Seramai 146 orang menerima sijil pengajian lanjutan, 231 sijil menengah dan 73 bagi sijil asas dalam konvokesyen terbabit.

-NFN-